Pos Malaysia Keluar Koleksi Setem Sempena Pelancaran MRT

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan setem bertemakan kereta api edisi terkini Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang, Isnin ini.

Siri setem berkenaan menampilkan tiga setem iaitu sekeping setem se-tenant yang memaparkan kereta api MRT dan bas pengantara MRT berharga 60 sen, stesen tergantung (80 sen) dan kereta api dengan penumpang (90 sen).

Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah, berkata pengeluaran setem terbabit adalah terhad dan pengumpul setem sama ada peminat tegar atau kasual serta orang ramai digalak mengambil peluang untuk membeli setem MRT pertama di Malaysia ini.

“Kita mencetak 304,000 setem berharga 60 sen, 132,000 untuk setiap setem 80 sen dan 90 sen, selain 45,000 untuk sampul hari pertama (FDC) bersama brosur percuma berharga 55 sen.

“Selain itu, kita turut mengeluarkan 3,300 folder berharga RM6.35 dan sebanyak 35,000 lembaran mini (MS) berharga RM 5.30 sekeping yang memaparkan pandangan perspektif kereta api MRT.

“Ia bertujuan menyerlahkan kualiti pembuatan dan reka bentuk kereta api yang dibina di luar negara itu,” katanya pada majlis pelancaran setem Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang, di sini, hari ini.

Diyana berkata, Pos Malaysia sudah menghasilkan beberapa sir setem lain yang menampilkan kereta api dan landasan kereta api di Malaysia.

“Antaranya, 100 Tahun Landasan Keretapi Malaysia (1985), Pemodenan Pengangkutan Kereta Api (1998), Express Rail Link (2002), Keretapi Malaysia (2010) dan Pengangkutan Awam Malaysia – Kereta Api di Sabah (2015),” katanya.

Katanya, pengeluaran setem MRT adalah yang ke-11 siri pengeluaran setem bagi Pos Malaysia bagi 2017. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.