Paksa Diri Bersenam Cara Mudah Untuk Kurus Secara Sihat

“SELEPAS keguguran, saya tertekan dan tidak menjaga pemakanan sehingga berat badan mencecah 104 kilogram. Sejak itu saya sedar perlu lakukan sesuatu sebelum diserang pelbagai penyakit,” kata Nur Hafiza Mukhtar, 30, mengenai usahanya menurunkan berat badan

Perkongsian Nur Hafiza mengenai usahanya menurunkan berat badan tular di Facebook sehingga dikongsi lebih 5,000 kali sejak 9 Julai lalu. Berat badannya kini 51 kg.

Nur Hafiza yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia pernah mengalami masalah hormon, darah tinggi dan kencing manis.

“Doktor menasihati saya untuk kurangkan berat badan jika mahu hamil. Tapi tujuan utama saya mahu kurus kerana mahu kekal sihat. Apabila berat badan berlebihan, tubuh kita lebih mudah diserang penyakit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Nur Hafizah, dia berjaya menurunkan sebanyak 44 kilogram dalam tempoh 10 bulan dari Januari hingga Oktober 2016.

“Selain mahu kekal sihat, saya nekad menurunkan berat badan kerana sukar mencari pakaian dengan saiz yang lebih besar. Terutamanya apabila saya teringat kembali betapa sukarnya saya mencari busana pengantin ketika mahu berkahwin pada Mac 2015,” katanya.

Menurut Nur Hafiza, dia tidak berbelanja besar semata-mata mahu mendapatkan berat badan ideal.

“Tak perlu berhabis duit pun untuk kurus. Saya tidak menggunakan khidmat pelatih kecergasan atau membeli makanan tambahan.

“Usaha saya menurunkan berat badan bergantung sepenuhnya pada pemakanan sihat dan senaman. Saya masih makan nasi seperti biasa cuma saya kurangkan kuantitinya. Paling penting, saya akan paksa diri bersenam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.