Lelaki Baru Lepas Memancing Dibaham Buaya

LELAKI Indonesia dilaporkan hilang selepas diserang buaya di Sungai Plasa, Beladin di Betong, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Sulaiman, 25, diserang reptilia itu kira-kira 9 malam ketika memancing bersama rakannya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.43 malam berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut rakan mangsa, mereka berdua baru pulang bekerja di ladang kelapa sawit tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Mangsa dan rakannya kemudian mengambil keputusan untuk memancing di sungai berkenaan sebelum pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, ketika sedang asyik memancing, rakannya melihat seekor buaya tiba-tiba menyerang mangsa sebelum menarik lelaki itu ke dalam sungai.

Beliau berkata, mangsa kemudian cuba melepaskan diri dari gigitan buaya namun gagal sebelum ditarik ke tengah sungai dan hilang dari pandangan.

“Rakan mangsa kemudian bergegas menghubungi bomba untuk memaklumkan kejadian dan operasi SAR yang dijalankan bermula malam tadi.

“Setakat ini pasukan SAR masih belum menemui sebarang petunjuk di kawasan sungai berkenaan dan operasi akan diteruskan pagi ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.