Jejambat Dalam Pembinaan Di Singapura Runtuh

SINGAPURA – Seorang pekerja dari China terbunuh manakala 10 lagi pekerja asing cedera selepas sebuah jejambat yang sedang dalam pembinaan di sini runtuh awal hari ini, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata insiden itu berlaku kira-kira 3.30 pagi bersebelahan jalan susur dari Upper Changi Road East ke Pan-Island Expressway (PIE).

Kesemua pekerja yang cedera, enam dari Bangladesh, tiga dari China dan seorang dari India, dihantar ke Hospital Besar Changi, menurut LTA menerusi kenyataan di laman webnya.

SCDF dalam catatan Facebook berkata pasukan itu dimaklumkan tentang insiden berkenaan pada 3.35 pagi dan operasi mencari dan menyelamat telah pun selesai dan pekerja lain di tapak pembinaan itu didapati selamat.

Kira-kira 60 pegawai SCDF, termasuk anggota daripada Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (DART) SCDF , terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat. Pasukan anjing pengesan K9 SCDF turut ditugaskan untuk membantu dalam operasi berkenaan.

“Struktur yang terjejas itu adalah sebahagian daripada lebuh raya yang sedang dalam pembinaan,” menurut kenyataan itu.

LTA berkata kontraktor sedang melakukan kerja membangunkan dek bagi pembinaan jejambat baharu bersebelahan jalan susur dari Upper Changi Road East ke PIE (Changi).

Menurutnya, siasatan berhubung aspek keselamatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kesilapan atau lompang yang perlu ditangani segera.

Antara lain, syarikat itu telah mengarahkan jurutera profesional yang bertanggungjawab terhadap projek berkenaan untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas reka bentuk dan kualiti pembinaan struktur yang terjejas.

Ia turut menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan bahawa sesangga yang menyokong cerucuk pratuang itu telah rebah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.