Iraq Hukum Keluarga Anggota Daish

Erbil – Kumpulan pemerhati hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) semalam menuduh pasukan keselamatan memindahkan kira-kira 170 keluarga suspek anggota Daish ke kawasan berhampiran pusat pemulihan sebagai cara untuk menghukum mereka.

Menurut Agensi, “Pihak berkuasa Iraq tidak sepatutnya menghukum seluruh keluarga kerana kegiatan seorang anggota keluarga mereka,” kata Timbalan Pengarah HRW Asia Barat, Lama Fakih.

Menurutnya, perbuatan berkenaan adalah sebahagian daripada jenayah perang dan akan menjejaskan usaha memulihkan keadaan di kawasan yang dikuasai semula daripada Daish.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan kemenangan ke atas kumpulan itu di Mosul awal minggu ini, sekali gus menamatkan pemerintahan khalifah mereka di wilayah itu.

“Kem untuk keluarga Daish itu tidak ada kena mengena dengan usaha pemulihan. Ia sebaliknya adalah pusat tahanan sementara untuk mereka yang tidak pernah didakwa melakukan kesalahan. Keluarga itu perlu dibebaskan dan dibenarkan pergi ke tempat mereka boleh hidup dengan selamat,” kata Lama, lapor Metro.

Pihak berkuasa Iraq membuka apa yang mereka gelar sebagai ‘kem pemulihan’ pertama di Bartala, di timur Mosul.

Menurut HRW, penahanan secara paksa juga dilakukan di Anbar, Babil, Diyala, Sala al-Din dan wilayah Nineveh, membabitkan ratusan keluarga yang ada hubungan dengan anggota Daish.

“Pasukan keselamatan, termasuk tentera, tidak bertindak untuk menghalang penderaan terhadap keluarga itu. Malah dalam beberapa keadaan, mereka turut mendera keluarga berkenaan,” kata Lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.