Azmin Macam Mat Jenin, Mahu Lawan Di Pekan Kata Noh

SHAH ALAM — Menteri besar Selangor diibaratkan “Mat Jenin” kerana mahu bertanding di Pekan, kubu kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tan Sri Noh Omar menyifatkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai “berangan-angan tinggi” untuk mencabar kerusi tradisi presiden Umno, lapor Sinar.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan turut menggesa Azmin menukar nama sebenarnya kepada “Mat Jenin”.

“Azmin berangan terlalu tinggi, kononnya nak lawan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Pekan. Angan-angan dia tidak munasabah untuk dicapai.

“Sikap ini sama seperti Mat Jenin yang berangan tinggi untuk kahwin dengan puteri raja. Jadi eloklah dia ke Jabatan Pendaftaran Negara segera tukar namanya,” katanya.

Noh mengulas kenyataan Azmin yang dilapor menolak cabaran beliau, selaku pengerusi Umno Selangor, bertanding di kerusinya Tanjong Karang.

Azmin, wakil rakyat Gombak, dilapor turut memperlekeh Noh dengan menggelarnya “cicak mengkarung” dan Noh bukan tandingan beliau.

Cabaran Noh itu dibuat selepas timbalan presiden PKR dengan sinis berkata mahu bertanding di Pekan sewaktu menafikan desas-desus mahu lari ke kerusi Ampang.

Najib memenangi kerusi Pekan sejak 1976 sehingga sekarang selepas kematian bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau tidak pernah menghadapi tekanan hebat di kerusi itu kecuali pada pilihan raya umum 1999 sewaktu krisis dalam Umno setahun sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.