20 Peratus Banduan Wanita Berjaya Dapat Pekerjaan

LEBIH 20 peratus banduan wanita yang keluar dan bebas dari Penjara Wanita di Sabah berjaya mendapat pekerjaan serta menempah nama dalam perniagaan.

Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Fauziah Husin berkata, penghuni terbabit sememangnya diberikan latihan intensif melalui Pelan Pembangunan Insan supaya mereka ini mampu menjana pendapatan sendiri serta berkemahiran apabila tamat menjalani sesi pemulihan.

“Mereka terbabit bukan setakat menjalani hukuman malah turut diberikan kemahiran termasuklah menjahit, memasak serta perkhidmatan dandanan dan kecantikan kepada banduan wanita di sini.

“Inisatif terbabit memberi peluang kepada banduan wanita supaya mampu menjana pendapatan sendiri dengan kemudahan yang sedia ada berdasarkan tiga peringkat yang bersesuaian serta minat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis bertemu pelanggan di Penjara Wanita Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, pihaknya turut mengutamakan perkhidmatan Pro dan Komuniti sebelum banduan terbabit dibebaskan bagi membantu banduan melakukan aktiviti kemasyarakatan apabila berhadapan dengan masyarakat.

“Pihak kami berkolobrasi dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang memberi peluang kepada pesalah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) untuk menjadi pekerja sambilan harian dengan kadar elaun RM44 sehari bagi membuat kerja pembersihan di bandar raya ini selain badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita turut menerima panggilan daripada restoran sekitar bandar raya ini kerana pihak restoran berkenaan memerlukan pekerja daripada bekas banduan yang terpilih dan berdisiplin.

“Setakat ini, 272 banduan yang menghuni penjara Wanita Kota Kinabalu dan setiap tahun pasti ada saja bekas banduan ini diterima bekerja oleh masyarakat luar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.