Wujud Parti Baharu Bukti Pembangkang Tak Terima Dr M – Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai penubuhan parti politik baharu yang diketuai oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut sinis oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

 

“Saya sedih, hakikat yang beliau terpaksa membentuk parti baharu bererti parti-parti pembangkang lain tidak menerima beliau,” katanya.

 

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata tindakan Dr Mahathir menunjukkan pihak pembangkang melihat beliau sebagai satu liabiliti.

 

Mengulas mengenai kenyataan bekas ahli UMNO Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengenai mereka yang tidak berpuas hati dengan UMNO boleh menyertai parti baharu, Nazri menyokong idea tersebut.

 

“Saya kira itu baik, satu harapan baharu untuk mereka. Baik buat mereka membentuk sebuah parti baharu. Cara yang sah untuk menentang kerajaan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Nazri turut menyelar reaksi Pemuda UMNO yang melakukan demonstrasi di luar pejabat DAP di ibu negara semalam dengan mengatakan tindakan sebegitu tidak membawa sebarang keuntungan kepada kestabilan politik negara.

 

Kumpulan itu mencampakkan “wang kematian”, atau “hell notes” ke arah pejabat DAP, sebagai tanda protes terhadap Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang didakwa menghina Islam dalam laman Facebooknya.

 

Bagaimanapun, Nazri berkata kesemua pihak perlu menjaga tutur kata di dalam negara berbilang kaum dan yang mempunyai perbezaan pendapat ini.

 

“Apatah lagi sebagai ahli Parlimen, mereka wajib bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat.

 

“Nasihat kepada ahli Parlimen berkenaan, hati-hatilah. Sensitiviti semua kaum perlu dijaga,” katanya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.