Polis Nafi Beri Amaran Rusuhan 16 September

KUALA LUMPUR – Polis nafi memberi amaran agar kaum bukan Melayu tinggal di rumah dan menyimpan makanan sebagai persediaan rusuhan kaum yang didakwa dirancang pada 16 September ini seperti yang diviralkan di WhatsApp dan media sosial.

 

Sekretariat Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner (ACP) Asmawati Ahmad dalam kenyataannya berkata, mesej itu tidak berasas sama sekali dan ia telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan keharmonian dan ketenteraman di negara ini.

 

“Penyebaran maklumat ini tidak berasas dan tidak dapat disahkan, ia boleh menyebabkan rasa tidak percaya, perpecahan dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,”katanya.

 

Katanya, spekulasi yang mempunyai unsur politik itu, turut mendakwa keganasan kaum dirancang dengan mensasarkan orang bukan Melayu sempena Hari Malaysia dan pengisytiharan darurat pada 16 September ini.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan menggunakan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menahan sesiapa sahaja yang menyebarkan kandungan berunsur hasutan itu.

 

Terdahulu, mesej ini turut menasihatkan kaum Cina dan India tidak keluar dari kediaman masing-masing dan menyimpan makanan dan keperluan asas mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.