Media Boikot Majlis Pra-Tonton Filem David Teo?

KUALA LUMPUR —  Cuma sebilangan wartawan yang hadir pada majlis pra tonton-filem “Zack Kapcai” malam semalam menimbulkan tanda tanya sama ada penerbitnya David Teo diboikot organisasi media?

 

Berbeza daripada majlis pra-tonton lain, acara sebegitu biasanya meriah dihadiri wartawan, jurugambar dan juruvideo daripada organisasi media cetak dan elektronik yang berminat membuat liputan.

 

ProjekMMO mendapatkan reaksi Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) mengenai perkara tersebut.

 

Presidennya, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, perkara itu tidak dapat dipastikan namun apa yang pasti petugas media kesal dengan kenyataan Teo yang dikatakan menyalahkan media akibat isu kontroversi Tan Sri P Ramlee.

 

“Saya tak pasti sama ada mereka boikot atau pun tidak tetapi memang semua pengarang akhbar utama dan atas talian melahirkan rasa kesal.

 

“Ramai pengarang dan wartawan kanan khususnya berkaitan seni dan hiburan melahirkan rasa kesal bila pihaknya menyalahkan media apabila timbul isu berkenaan P Ramlee.

 

“Meletakkan kesalahan kepada media seperti salah lapor (isu hina P Ramlee), itu fesyen lama dan sikap yang tidak sepatutnya ada,” katanya ketika dihubungi ProjekMMO.

 

Tengku Khalidah berkata Teo seharusnya bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat dan mengemukakan permohonan maaf.

 

Ditanya sama ada media akan terus memboikot majlis pra tonton filem Metrowealth Pictures (MiG) pada masa akan datang, beliau berkata WHAM mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

 

“Kita tengok dulu kalau beliau minta maaf seperti jumpa keluarga P Ramlee dan minta maaf kepada media.

 

“Kami kecewa beliau menyalahkan media dan keduanya memang beliau menghina P Ramlee.

 

“Beliau buat salah kena mengaku, bertanggungjawab dan minta maaf. Beliau tidak boleh cari dan letak kesalahan kepada orang lain,” katanya.

 

Majlis pra-tonton malam tadi dihadiri Teo selaku ketua pegawai eksekutif MiG, barisan pelakon dan pengarah “Zack Kapcai”.

 

Bagaimanapun, dua pelakon utama iaitu Fad Bocey dan Shuk SYJ tidak menghadirkan diri.

 

 

Shuk nama popular Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata hal berkenaan tidak disengajakan kerana masih berada di Bangkok.

 

“Saya di Bangkok dari Raya Ketiga. Jadi hari ini masih dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

 

“Saya bukan sengaja. Saya ingatkan saya sempat sampai Kuala Lumpur pada Selasa tetapi penerbangan penuh. Jadi saya terpaksa naik keretapi 15 jam baru sampai ke Butterworth.

 

“Insya Allah selepas ini saya akan sertai menonton filem itu bersama peminat dan hadir ke promosi filem,” katanya ketika dihubungi ProjekMMO.

 

Ditanya pandangannya tentang kenyataan Teo mengenai P Ramlee, Shuk berkata penerbit berkenaan tidak bermaksud demikian.

 

Katanya, menjadi kelaziman apa yang dikatakan Teo berbeza makna daripada maksud sebenar mesej yang cuba disampaikan.

 

“Kita kenal dia, selalu dia maksudkan benda lain tetapi ayat dia lain. Dia sebagai orang seni, tak mungkin dia maksudkan apa yang dia cakap. Pada dia, kita kena belajar menyimpan supaya lebih berhati-hati di masa depan.

 

“Mungkin itu maksud dia. Dia kan selalu salah pantun. Cakap pun selalu salah. Mungkin itu isunya,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.