Ku Nan Setuju Pemuda UMNO Buat Bantahan Di Pejabat DAP

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menyokong tindakan sekumpulan 200 ahli UMNO Wilayah Persekutuan dan NGO Gerakan Merah menyatakan bantahan terbuka terhadap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di Ibu Pejabat DAP kelmarin.

 

Memetik laporan Berita Daily semalam, Tengku Adnan berkata tindakan bantahan itu bertujuan mempertahankan Malaysia dan mengelak daripada tercetusnya perbalahan antara kaum dan agama ekoran provokasi dan sentimen yang dimulakan oleh pemimpin DAP.

 

“UMNO memberi kebebasan kepada pemuda untuk bersuara. Inilah masalahnya dalam politik apabila ada pihak seperti DAP yang suka main sentimen, apatah lagi apabila kita menyentuh persoalan agama dan juga persoalan bangsa.

 

“Saya sebagai Ketua Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bersetuju atas apa yang mereka lakukan bagi menyatakan ketidakpuasan hati majoriti bangsa Melayu yang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming.

 

“Tidak ada satu bangsa atau agama yang boleh kita perkotak-katikkan. UMNO berlandaskan agama Islam, jadi agama kamu agama kamu, agama kita agama kita,” katanya.

 

Kelmarin, kira-kira 200 ahli UMNO dan Gerakan Merah bergabung tenaga melakukan bantahan di hadapan Ibu Pejabat DAP sebagai tanda protes terhadap tindakan Nga Kor Ming menghina dan menyamakan pemberian duit raya yang diamalkan umat Islam sempena Aidilfitri sebagai dedak.

 

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menuntut Nga Kor Ming segera membuat permohonan maaf atas kesilapan yang dilakukan.

 

“Saya harap Nga minta maaf. Salah ke nak minta maaf selepas silap panggil orang makan dedak. Dedak ini makanan binatang. Jangan lah berharap ada segelintir manusia dan bangsa seperti binatang.

 

“Jangan guna perkataan dedak. Kalau saya pergi Sambutan Tahun Baru Cina pun mereka beri ang pau, sama juga macam dedak,” katanya lagi dipetik dari laporan yang sama.

 

Nga Kor Ming sebelum ini turut mengundang kontroversi apabila menyampaikan ucapan selamat hari raya Aidilfitri di Facebook beliau dengan berlatarbelakangkan gambar rumah api yang dikaitkan dengan simbol agama Kristian serta bendera Amerika Syarikat. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.