IS Terbit Akhbar Pertama Dalam Bahasa Melayu

SINGAPURA – Tindakan kumpulan militan IS dilaporkan telah menerbitkan akhbarnya yang pertama, Al Fatihin dalam bahasa Melayu dan mengedarkannya sejak bulan lalu mempunyai implikasi membimbangkan, lapor Berita Mediacorp.

 

Al Fatihin setebal 20 halaman itu dicetak dalam bentuk digital dengan format PDF dan kandungan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

 

Penganalisis dari Singapura percaya, langkah IS itu bertujuan meluaskan jangkauannya dan mendekati lebih ramai orang yang berbahasa Melayu khususnya di Asia Tenggara.

 

Penganalisis keganasan dari Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Muhammad Haziq Jani, berkata sebelum ini, penerbitan rasmi IS dikeluarkan dalam bahasa Arab dan Inggeris sahaja namun kemunculan akhbar dalam bahasa Melayu itu dikatakan membawa mesej propaganda IS dibimbangi akan lebih mudah meresap dan difahami.

 

“Kesan yang paling membimbangkan saya ialah imaginasi bahawa IS itu dekat dengan kita. Untuk orang-orang yang menunjukkan sokongan kepada IS, ia seperti sesuatu yang memberi perangsang, ‘Oh, IS sedang memberikan kita perhatian’,” katanya.

 

Pada Selasa lalu, kerajaan diminta memantau secara menyeluruh penyebaran akhbar digital, Al Fatihin, di negara ini yang ‎diterbitkan kumpulan militan IS.

 

‎Sementara itu, Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Mohamed Ali berkata IS berkongsi dengan pembaca tentang serangan-serangan yang telah mereka lakukan dalam beberapa bulan yang lalu.

 

“Dan ini bagi saya amat-amat bahaya sekali dan IS amat berani sekali menunjukkan bahawa mereka adalah kumpulan pengganas malah mereka sangat bangga dengan apa yang mereka lakukan.

 

“Jadi ibu bapa harus menegaskan kepada anak-anak mereka tentang kewujudan majalah bernama Al Fatihin dan ia tidak harus sampai kepada mereka. Mereka tidak boleh ambil sebarang ajaran daripada majalah ini walaupun majalah ini ada ajaran yang nampaknya berbentuk Islam,” katanya.

 

Al Fatihin juga dianggap sebagai licik dan merupakan satu ‘perang psikologi’ untuk menambat hati dan sokongan orang Melayu.

 

Menerusi satu info grafik, ia juga cuba menunjukkan bahawa pihak IS mengagihkan zakat harta berjumlah hampir RM 32.2 juta kepada 44,000 keluarga di 12 bandar yang ditadbirnya.

 

Muhammad Haziq menyifatkan tindakan itu sebagai taktik untuk orang melupakan bahawa mereka ini adalah sebuah kumpulan pengganas dan mempunyai pentadbiran yang baik di tengah-tengah kesengsaraan perang di Syria dan Iraq.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.