47,418 Orang Telah Terima Bantuan Khas Harga Getah

PUTRAJAYA – Seramai 47,418 pekebun kecil dan penoreh getah sudah menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sejak insentif itu diumum kerajaan pada 10 Jun lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada 84,754 penerima yang layak dibayar bantuan dari keseluruhan 190,583 orang yang membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setakat Selasa lepas.

 

“Kita cuba segerakan bantuan tetapi wujud beberapa masalah dari segi syarat kelayakan seperti pemohon memiliki tanah melebihi tujuh ekar, permohonan bertindih oleh pemilik tanah dan penoreh serta permohonan terlalu ramai atas tanah yang sama.

 

“Kita bukan menipu dan enggan membayar bantuan yang dijanjikan seperti dakwaan pihak tertentu tetapi ia merupakan syarat yang perlu dipatuhi bagi kelulusan menerima bantuan selain memiliki Kad Permit Autoriti Pekebun Kecil Getah (PAT-G) yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM),” katanya dalam sidang media di sini semalam.

 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas (Latas), Muhammad Sanusi Md Nor seperti dilaporkan akhbar Ahad lepas, yang mendakwa kerajaan gagal melunaskan bayaran bantuan khas itu walaupun hampir sebulan diumumkan, sekali gus membenarkan jangkaan pembangkang bahawa pengumuman pemberian itu hanyalah bersifat rasuah politik menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun lalu.

 

Bagi memastikan semua golongan sasar menikmati pemberian berkenaan, Ismail Sabri berkata tempoh pendaftaran permohonan yang akan berakhir 31 Julai ini juga dilanjutkan sehingga 31 Ogos depan.

 

Beliau berkata kakitangan Risda juga diminta untuk bekerja lebih masa, manakala semua pejabat Risda diarah dibuka pada hujung minggu dan cuti umum bagi menguruskan permohonan dan mempercepatkan semakan kelayakan dan bayaran.

 

“Kita juga telah arahkan Pegawai Seranta dan Pemaju Masyarakat Risda untuk turun ke kampung-kampung memberi penerangan dan membantu pemohon membuat permohonan untuk menyelesaikan isu itu, katanya.

 

Ismail Sabri berkata Risda juga akan mengeluarkan poster untuk dilekatkan di kawasan tumpuan seperti masjid, surau, kedai dan tempat orang-orang berkumpul di kampung-kampung bagi menjelaskan mengenai syarat, kelayakan dan prosedur permohonan bantuan berkenaan.

 

Mengenai kes anggota keluarga tidak boleh menerima bantuan kerana pemilik tanah atau kebun getah sama ada ibu atau bapa telah meninggal dunia sebelum tanah dipindah milik, beliau berkata mereka yang berkenaan cuma perlu melantik seorang daripada anggota keluarga sebagai wakil dan hadir ke pejabat Risda bersama geran tanah untuk membuat permohonan.

 

Dalam kes ini, mereka perlu melantik seorang anggota keluarga, membuat surat persetujuan daripada adik-beradik yang menyatakan individu itu dibenarkan mewakili keluarga mereka bagi membolehkan permohonan dibuat dan layak untuk diproses dan diluluskan, katanya.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumumannya pada 10 Jun lepas berkata bantuan khas berjumlah RM194 juta itu akan memberi manfaat kepada 388,111 individu membabitkan 307,770 pekebun kecil dan 80,341 penoreh getah yang tidak memiliki kebun sendiri atau menoreh di tanah milik orang lain. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.