Usia 17 Tahun Dah Pikul Tugas Ketua Keluarga

KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri tahun ini ternyata berbeza bagi Muhammad Haikal Jefri kerana perlu memikul tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga dan tempat mengadu kepada empat adiknya yang lain.

 

Menurut remaja berusia 17 tahun itu, sebagai anak sulung, dia perlu kuat supaya adik-adiknya tidak sedih akibat daripada trauma kemalangan yang telah meragut nyawa kedua-dua orang tua mereka.

 

Muhammad Haikal merupakan anak sulung kepada pasangan Jefri Mohd. Zain dan isterinya, Norsalawati Ibrahim yang maut ketika dalam perjalanan menunggang motosikal menuju ke tempat kerja di Jalan Loke Yew, Mei tahun lalu.

 

Empat adiknya ialah Fatin Adlina Jefri, 15; Muhammad Aidil Jefri, 11; Nur Syamimi Jefri, lima tahun, dan Nur Auni Safia Jefri, empat tahun.

 

“Saya sebenarnya belum mampu menjadi ketua keluarga sebab saya pun masih sedih tetapi saya perlu kuat demi adik-adik. Antara keputusan pertama selepas tiga bulan pemergian abah dan ummi adalah menukar cat dinding ruang tamu rumah ini dan mengalihkan kedudukan barangan perabot.

 

“Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu mengubah apa-apa pun tetapi kesian apabila Nur Auni Safia asyik bertanya dan menangis apabila dia teringatkan abah dan ummi,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Desa Cheras, Alam Damai di sini, semalam.

 

Sewaktu ditemui, remaja itu sedang sibuk melayan dua adik kecilnya, Nur Syamimi dan Nur Auni Safia bermain sambil mendengar Fatin Adlina mengadu buku latihannya hilang serta meminta supaya dibelikan yang baharu.

 

Berhati-hati ketika menyambung bicara, Muhammad Haikal mengakui, tunjuk ajar ayah selain pujukan serta nasihat ibu merupakan perkara paling dirindui hingga kadangkala dia turut menangis.

 

“Jika dahulu saya tidak faham kenapa abah selalu marah saya walaupun kesalahan itu tidaklah besar mana pun, tetapi apabila mereka tiada sekarang, baru saya sedar semua itu untuk kebaikan saya juga sebagai anak sulung.

 

“Saya berharap dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan dapat melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi menjamin masa depan saya untuk menjaga adik-adik,” katanya.

 

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh meng­hubungi ibu saudara anak-anak yatim berkenaan, Zainah di 017-3315359 atau 019-6065911. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.