Terima Kasih MB Terengganu!

KUALA LUMPUR – “Terima kasih Datuk (Seri Ahmad) Razif (Menteri Besar Terengganu) kerana membolehkan kami pulang menyambut raya bersama keluarga!”

 

Itulah luahan gembira pelajar Kolej Universiti Antarabangsa Selangor, Wan Muhammad Amiirullah Wan Umar yang pulang beraya ke kampung di Dungun, malam ini.

 

Dia bersama 150 pelajar lain pulang ke kampung halaman di Terengganu dengan menaiki bas yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

 

Selain Amirullah, Wan Nurul Hani Wan Sidi turut berpeluang beraya di kampung selepas mengalami detik sukar apabila gagal mendapatkan tiket bas untuk pulang beraya di Marang.

 

Beliau tidak menyangka kerajaan negeri sedia mendengar keluhannya yang tidak dapat pulang beraya sebelum ini sehingga mencerahkan harapan menyambut 1 Syawal di samping keluarga.

 

“Mujurlah saya ternampak iklan bas yang disediakan kerajaan negeri di media sosial dan segera menghubungi mereka untuk pulang bersama.

 

“Ini pastinya detik gembira buat saya dan keluarga”, katanya ketika di temui The Rakyat Post hari ini.

 

Amirullah dan Hani adalah antara 150 individu yang bertuah selepas hampir terkandas di ibu kota kerana gagal mendapatkan tiket bas untuk pulang ke negeri di Pantai Timur itu.

 

Namun, mereka berjaya ‘diselamatkan’ oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk anak Terengganu yang belajar di Lembah Klang.

 

Mereka akhirnya berpeluang pulang ke kampung dan menyambut Hari Raya dengan menaiki empat buah bas yang disediakan oleh kerajaan negeri itu.

 

Program yang dinamakan Bas Balik Raya Permata diajurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu.

 

Pengurus program berkenaan, Nasiruddin Mohamad yang bertanggungjawab mengatur perjalanan mereka berkata, idea berkenaan adalah inisiatif asal daripada Menteri Besar (MB) Terengganu,  Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

 

“Inisiatif daripada MB susulan aduan anak Terengganu yang terkandas yang tidak ada tiket untuk pulang beraya.

 

“Sebelum ini, kami pernah menganjurkan program di mana kami hantar bas untuk universiti yang memohon sahaja.

 

“Namun bagi tahun ini julung kali kami `pick up’ (ambil) mereka di tengah ibu kota iaitu di Kampung Baru dan semua akan berkumpul di sana”, ujar Hani.

 

Mereka yang bertolak pada jam 9 malam tadi dijangka sampai ke Kuala Terengganu pada jam 5 pagi esok, dan dijadual disambut Ahmad Razif.

 

Istimewanya, mereka akan turut diraikan dengan aktiviti sahur bersama-sama sesudah selamat tiba di sana.

 

“Banyak aktiviti yang kami sediakan, mereka tidak perlu bimbang kerana kita akan bersahur bersama-sama apabila sampai nanti.

 

“Ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka yang sanggup menuntut ilmu ke luar negeri”, jelasnya. – TRP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.