Peniaga Low Yat Jangan Ambil Tindakan Sendiri – Ku Nan

KUALA LUMPUR – Peniaga telefon di Plaza Low Yat yang terlibat dalam kes kecurian telefon bimbit pada Sabtu tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, peniaga kedai telefon itu sepatutnya menghubungi pihak berkuasa bagi mengatasi situasi tersebut.

 

Bagaimanapun, Ku Nan juga kecewa dengan sikap budak lelaki yang dipercayai mencuri telefon di kedai itu yang bertindak memanggil kawan-kawannya kembali ke kedai tersebut untuk membalas dendam.

 

“Kalau yang curi ke atau yang beri barang tipu ke, pemilik kedai tidak boleh ambil tindakan sendiri walaupun lelaki itu cuba menipu dia.

 

“Dia patut hubungi pihak keselamatan, pihak polis untuk kawal keadaan. Sama juga kepada budak lelaki itu. Kenapa bawa kawan datang untuk balas dendam?

 

“Tidak ada persefahaman diantara kita. Ini sangat teruk kepada negara. Saya sangat sedih apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita di di Program Nur Ramadhan bersama gelandangan di sini.

 

Ku Nan juga meminta media memainkan peranan supaya tidak menulis berita yang boleh menimbulkan ketegangan di antara kaum.

 

“Disebabkan hendak jadi popular, kamu tulis apa yang kamu suka termasuk lagakan pemimpin dengan pemimpin.

 

“Tolonglah setiap dari kamu bertangungjawab terhadap tuhan. Ingat itu. Jika tidak betul kamu jawab di sana (akhirat),” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.