Pemimpin Tak Setia Wajar Keluar Dari PAS Sekarang

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Pas yang mempunyai kaitan dengan parti Gerakan Harapan Baru wajar keluar daripada Pas serta-merta sebelum digugurkan keahlian mereka secara automatik.

 

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tindakan meninggalkan Pas perlu dilakukan pemimpin-pemimpin itu memandangkan pengkhianatan terhadap jemaah yang dilakukan kumpulan tersebut dapat mengeruhkan suasana dalaman Pas.

 

Menurut beliau, secara jelas, tindakan terbaharu kumpulan pemimpin itu menunjukkan mereka tidak setia kepada parti.

 

“Itu hak mereka menubuhkan parti baharu, itu pilihan mereka. Cuma pada asasnya, apabila menubuhkan serta menyertai sebuah parti baharu yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), mereka akan secara automatik digugurkan keahlian mereka dalam Pas.

 

“Sehubungan itu, adalah lebih wajar bagi mereka untuk keluar parti sekarang. Sudah jelas mereka melakukan pengkhianatan terhadap jemaah dan tidak boleh memberi kesetiaan kepada Pas, jadi apa guna lagi menjadi ahli?” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Hari ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan parti politik baharu yang bakal dianggotai pemimpin yang kecundang dalam pemilihan Pas pada 4 Jun lalu.

 

Parti politik baharu yang dinamakan Gerakan Harapan Baru atau ‘Harapan Baru’ itu dijangka akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat Baru (PRB).

 

Menurut Mohamad, parti tersebut akan memberi penekanan dalam soal akhlak, moraliti dan amanah dalam tadbir urus, pemerintahan serta interaksi dengan semua pihak. UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.