Empat Penjual Telefon Antara Ditahan Bersabit Rusuhan Plaza Low Yat

KUALA LUMPUR – Enam lagi individu ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes curi telefon dan kekecohan di Plaza Low Yat, menjadikan keseluruhan 25 orang ditahan setakat ini.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, kesemua enam suspek yang ditahan berumur antara 19 dan 43 tahun.

 

“Pada 11.30 pagi tadi, seorang lelaki berusia 43 tahun, ditahan kerana dipercayai terlibat dalam menyampaikan ucapan yang berbaur hasutan di hadapan Plaza Low Yat pada Ahad lepas.

 

“Ini boleh menimbulkan isu perkauman dan ketenteraman awam yang berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Zainuddin berkata, lelaki itu akan ditahan reman esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

 

“Seorang konstabel Polis Bantuan Felda berusia 22 tahun ditahan pada 1 tengah hari tadi di Jalan Persiaran KLCC dan akan direman selama tiga hari bermula hari ini.

 

“Empat individu yang bekerja sebagai jurujual telefon bimbit berusia antara 19 dan 29 tahun turut ditahan di plaza berkenaan pada 4 petang tadi. Kelima-lima suspek terlibat dalam rusuhan,” katanya.

 

Katanya kelima-lima mereka disiasat di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan.

 

Beliau berkata, daripada 25 jumlah keseluruhan, masing-masing seorang terlibat dalam kes mencuri dan hasutan manakala 23 lagi terlibat dalam kes rusuhan di plaza itu, Ahad lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.