Adik Yaya Disatukan Kembali Dengan Ibu Kandung

KOTA BHARU – Pastinya tiada yang lebih melegakan dan menggembirakan buat kanak-kanak berusia lima tahun yang dikatakan menjadi mangsa dera ayah kandung dan ibu tirinya, Nur Zuliana Zaa’ra apabila bakal disatukan dengan ibu kandungnya, Sanaa Ab Malek, hanya kira-kira tiga hari sebelum menyambut Aidilfitri.

 

Selain itu, impian Nur Zuliana Zaa’ra yang lebih dikenali sebagai adik Yaya juga menjadi nyata apabila beliau dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih dua minggu dirawat di  Hospital Raja Perempuan Zainab II.

 

Ini berikutan hak penjagaannya diserahkan kepada Sanaa.

 

Perintah itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan daripada Mahkamah Majistret Pasir Mas agar hak penjagaan sementara diserahkan kepada ibu kandungnya.

 

Pengarah JKM Kelantan, Mohamad Hanafi Maulud, berkata perintah itu dikeluarkan kelmarin oleh Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali selepas mendengar permohonan yang dikemukakan oleh Pegawai Pelindung JKM Pasir Mas, Wan Muzera Wan Muhamad.

 

Katanya, permohonan perintah itu dibuat mengikut Seksyen 25 (2) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana mahkamah boleh mengarahkan supaya kanak-kanak tersebut, Nur Zuliana Zaa’ra diletakkan dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai dan dalam kes ini orang itu adalah ibu kandung.

 

“Setakat ini, pihak jabatan dimaklumkan oleh pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II, tempat di mana Yaya dirawat sekarang bahawa kanak-kanak itu bertambah stabil dan semakin pulih sekarang.

 

“Beliau tidak didera secara seksual dan akan dibenar pulang pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya.

 

Walaubagaimanapun, katanya pihak JKM akan sentiasa memantau keadaan Yaya dari masa ke semasa dengan mengunjungi beliau di rumahnya di Kampung Guchil Bayam.

 

Sementara itu, Sanaa ketika dihubungi The Rakyat post meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kepulangan anak sulungnya itu, setelah lebih dua minggu berada di hosptal.

 

“Yaya akan diberikan perhatian dan jagaan rapi oleh keluarga saya.

 

“Saya seakan dapat merasai kegembiraannya dan berharap perkara lalu akan dilupakan terus olehnya,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.