Warga Emas Disisih Zuriat Sendiri

KOTA SAMARAHAN: Tinggal dalam pondok usang yang diperbuat daripada zink dan hidup terasing daripada masyarakat, itulah suasana kehidupan seorang warga emas bersama isterinya yang terpaksa berhijrah ke sini selepas disisih zuriat sendiri.

Soteh Bandug dari Kampung Tuie, Pusa yang sudah mencecah usia 81 tahun tinggal bersama isterinya Fatimah Unjui, 45, dengan membina sebuah pondok kecil daripada kepingan zink yang dikutip selain ihsan daripada penduduk kampung.T13726

Mereka tinggal di tanah rizab di Kampung Tanjung Bundong di sini sejak empat tahun lalu.

Menceritakan kisah hidupnya, Soteh berkata dia dan isterinya hanya bergantung hidup dengan mencari sayur hutan dan berkebun secara kecil-kecilan di tanah itu.

“Kali pertama datang ke kampung ini kami dibantu oleh seorang penduduk di sini yang menyumbang perkakas seperti zink dan kayu untuk membina pondok di tanah milik kerajaan.

“Kami terpaksa menumpang di tanah ini kerana tiada lagi tempat untuk kami berteduh,” katanya ketika ditemui barubaru ini.

Soteh menambah, pada mulanya dia tinggal di situ dengan bergantung kepada bekalan air hujan dan bercahayakan pelita pada waktu malam.

Katanya dia terpaksa mencari sayur hutan seperti midin dan rebung untuk dijual demi menyara hidup.

Namun, kebun yang diusahakan mereka di tanah tersebut sudah membuahkan hasil sekali gus membantu menambah pendapatan.

Katanya pendapatannya dengan hasil jualan sayur-sayuran hanya RM200 sebulan dan kadangkala jumlahnya kurang daripada itu.

Selain itu, dia juga merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Hanya itulah pendapatan kami untuk menyara hidup, kalau nak buat rumah sememangnya tidak mampu,” katanya dengan nada yang sayu.

Ditanya mengapa dia tinggal di pondok usang itu bersama isteri, Soteh berkata, sejak dia berkahwin baharu selepas kematian isteri sebelum ini, keenam-enam anak kandungnya menghalau dia dan isteri bersama lima anak tirinya keluar dari rumah.

“Mereka tidak suka saya bernikah baharu, sebab itu mereka menghalau ibu tiri mereka dan saya terpaksa memilih isteri…siapa yang tidak sayang isteri,” tambahnya.

Jelasnya, empat anak tirinya sudah berumah tangga dan masing-masing mempunyai keluarga sendiri manakala seorang lagi anak tirinya masih bersekolah di tingkatan empat dan kini tinggal di asrama penuh.

“Raya pun sudah dekat, anak-anak tiri bersama menantu dan cucu saya akan datang untuk bermalam bersama kami di sini, syukurlah ada tempat berteduh dan tempat untuk meraikan Hari Raya nanti,” ujarnya.

Justeru, Soteh berharap kerajaan dapat membantu menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa seperti rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin).

“Kami amat berharap kerajaan dapat membantu kami sekeluarga,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.