Piala Dunia : Maya Karin Takut Buat Ramalan

Penyokong kuat pasukan German, Maya Karin mengakui dia takut untuk membuat sebarang ramalan tentang pasukan yang akan bergelar juara Piala Dunia 2014.

“Saya takut untuk membuat sebarang ramalan skor. Saya rasa macam tak boleh nak ramal. Tapi tunggulah nanti apabila perlawanan akhir sudah bermula, barulah saya akan bersemangat untuk membuat ramalan dan menyokong pasukan kegemaran saya menerusi akaun Twitter,” ujar Maya riang ketika memulakan bicara.

“Saya juga bakal ke London untuk melawat adik dan bapa saya. Selain ke sana untuk menikmati pengalaman berpuasa dengan adik dan bapa saya, kami sekeluarga juga akan sama-sama menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia nanti. Tentu suasananya meriah sekali,” kata Maya ketika ditemui di majlis Pelancaran Album ‘15 Senandung Aidilfitri’ di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menerusi album ‘15 Senandung Aidilfitri’, Maya mendendangkan sebuah lagu raya ciptaan Omar K yang berjudul ‘Pulang’. Dedah Maya, dia menyukai lagu tersebut kerana irama muzik lagu itu yang kedengaran seakan klasik.

“Bagi saya, secara peribadi, bunyi dan irama lagu itu agak nostalgia. Saya suka cara Omar K buat lagu itu. Saya berharap peminat dapat menerima lagu itu seperti lagu-lagu Raya lain yang kini menjadi malar segar,” kata pelakon filem ‘Nota’ itu.

Berkongsi cerita tentang pembikinan muzik video lagu Raya pertamanya itu, Maya memberitahu ia adalah hasil ideanya sendiri.

“Pada awalnya, pihak Warner Music mahukan muzik video itu berkonsepkan malam Raya dan mereka juga bercadang untuk melakukan pertandingan di kalangan peminat-peminat untuk membintangi muzik video lagu itu.

Bagaimanapun, tiba-tiba saya punya idea lain. Saya cadangkan gunakan kampung saya dan saudara-mara saya sendiri dalam muzik video tersebut. Saya fikirkan, jika guna ahli keluarga sendiri, pastinya ‘mood’ raya akan senang datang dan semuanya akan kelihatan natural dan bersahaja. Akhirnya perkara itu dilaksanakan dan saya gembira apabila dapat menggunakan khidmat keluarga saya dalam video klip itu,” ujar Maya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.