Pensyarah UM Terlibat Militan Adalah Ahli PAS

Kuala Lumpur – Pensyarah Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad yang diburu polis kerana terlibat dalam aktiviti militan merupakan ahli PAS, dedah sumber.

Sumber dalaman parti mengesahkan kepada The Malaysian Insider (TMI) Mahmud, 36, merupakan ahli PAS di kawasan Selayang, Selangor.

Selain Mahmud, dua lagi rakannya Mohd Najib Husen, 36, dan Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, yang turut dikehendaki polis juga merupakan ahli PAS.

Sebelum ini, TMI cuba mengesahkan perkara tersebut dengan PAS Selayang, bagaimanapun Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Talib berkata tidak mengetahui mengenainya.

Zaidy yang juga ketua penerangan PAS negeri juga berkata perkara tersebut hanya boleh disahkan oleh setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa yang dihubungi The Malaysian Insider sebelum ini juga berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut.

“Biar saya semak dan siasat dulu,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Mahmud dikatakan terlibat dalam aktiviti militan sejak 1990-an semasa belajar di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad, Pakistan.

Pada ketika itu, beliau menerima latihan ketenteraan di kem Al-Qaeda di Afghanistan.

Nama Mahmud muncul dalam berita untuk kali pertama baru-baru ini apabila polis Bukit Aman mengeluarkan senarai nama lima pengganas Malaysia paling dikehendaki.

Mahmud, pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM dikatakan sedang bersembunyi di selatan Filipina sejak 22 April.

Beliau dikenal pasti sebagai individu pertama melatih pengebom berani mati Malaysia, Ahmad Tarmimi Maliki yang meletupkan 25 askar elit Iraq di ibu pejabat SWAT di al-Anbar pada 26 Mei.

Pada 11 Mei lalu PAS memecat seorang ahlinya Lotfi Ariffin kerana menyertai gerakan bersenjata di Syria.

Lotfi dipecat daripada PAS selepas disahkan penglibatannya ke Syria untuk menyertai peperangan di sana.

Kepimpinan PAS juga sudah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil jalan politik dalam perjuangan mereka dan tidak bersetuju dengan perjuangan mengangkat senjata.

 

Baca : Pensyarah Universiti Malaya Rekrut Pengebom Berani Mati Di Malaysia

 

Baca : Militan: Pensyarah UM Antara Lima Diburu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.