Makan Ketika Sahur, Berbuka Saja

Rantau Panjang – “Mujurlah ketika bulan puasa ini, kami hanya makan ketika berbuka dan bersahur,” kata seorang suri rumah di Kampung Chenerai, Meranti, semalam.

Nor Azmahera Abdullah, 32, berkata, dia dapat menjimatkan lebih banyak wang pada bulan mulia ini, namun dia bimbang enam anaknya mungkin tidak dapat mengenakan baju raya kerana kesempitan wang untuk membeli keperluan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, bagi menambah pendapatan keluarga, dia mengambil upah membuat kuih di rumah penduduk dekat sini.

“Hasilnya dapatlah digunakan untuk membeli makanan berbuka dan bersahur. Cukuplah untuk beli beras dan satu atau dua jenis lauk dikongsi bersama enam anak dan suami.

“Memandangkan suami orang kurang upaya (OKU), saya terpaksa memikul semua tanggungjawab untuk menyara keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Nor Azmahera berkata, rumah yang diduduki pernah rosak akibat ribut petir dan ditimpa pokok beberapa bulan lalu.

Namun disebabkan kekurangan sumber pendapatan katanya, dia tidak dapat membaiki kerosakan dihadapi dan terus tinggal dalam rumah yang uzur.

“Bagi mengelakkan rumah roboh, kami terpaksa menongkat rumah yang senget dengan kayu.

“Setiap kali menjelang waktu malam saya risau mengenangkan keselamatan tujuh anak saya kerana ribut mungkin melanda dan merobohkan rumah kami,” katanya.

Bagi mana-mana pihak yang sudi tampil  menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh berkunjung ke rumah mereka di Kampung Chenerai, Meranti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.