JOHOR BAHRU – Tidak berbaloi dan perlu lebih tinggi lagi. Itu pandangan Pemuda Umno Johor terhadap cadangan kerajaan mahu mengenakan caj bayaran masuk kenderaan atau Vehicle Entry Pass (VEP) sebanyak RM20 ke atas kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini.

Nilai ini sangat rendah dibandingkan VEP yang dikenakan Singapura ke atas kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu sebanyak RM51. Malah mulai bulan depan, caj itu dinaikkan kepada RM90.
Kenaikan itu sudah pasti akan memberi kesan besar terhadap lebih 100,000 rakyat negara ini yang berulang alik bekerja di republik itu setiap hari.

Bagi Pemuda Umno Johor, caj yang dikenakan itu bukan sahaja tinggi malah kenaikannya agak drastik.

“Kiralah berapa banyak beza caj dikenakan Singapura kepada kita dan berapa pula yang kita kenakan. Sedangkan rakyat Singapura menikmati begitu banyak faedah di negara ini, bukan saja atas nilai tukaran mata wang tetapi juga harga subsidi barang yang dibayar dengan duit kita,” kata ketuanya, Hahasrin Hashim kepada Sinar Harian, semalam.

Untuk lebih adil, beliau mencadangkan VEP RM100 sehari dikenakan ke atas kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini sama ada melalui Tambak Johor ataupun Linkedua.

“Saya yakin nilai yang sebanyak itu (RM100) adalah yang sepadan dan tidak akan menjejaskan kehadiran rakyat Singapura ke negara kita. Ini kerana nilai mata wang Dollar yang tinggi selain taraf pendapatan mereka juga tinggi. Bagi saya, ini yang paling adil kerana mereka nikmati terlalu banyak faedah di negara kita termasuk harga barang yang lebih rendah berbanding di negara mereka,” katanya.

Hahasrin menyuarakan rasa hairan mengapa Kerajaan Pusat mengambil masa yang lama membuat keputusan berhubung cadangan itu.

“Saya difahamkan Kerajaan Johor telah hantar cadangan ini sejak lima bulan dulu lagi. Malah cadangan asalnya pada 2006. Saya hairan mengapa kerajaan ambil masa lama untuk laksanakan caj ini sedangkan rakyat kita kena bayar tiap-tiap hari untuk masuk Singapura.

“Perkara yang boleh beri pulangan kepada kita dan mereka pun sudah kenakan VEP ke atas kita tidak patut ditangguhkan lagi,” katanya.

Jika dilaksanakan kelak, Hahasrin mencadangkan supaya pulangan daripada VEP dibahagi dua Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Johor perlu ada bahagian dalam pendapatan ini terutama memajukan dan menyenggara infrastruktur negeri,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan cadangan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Johor bahkan seluruh negara kerana ia dijangka menjana pendapatan baharu yang lumayan kepada kerajaan.