Kes Pukul Anak Di Sweden: Azizul Tiba Di KLIA Petang Esok

Kuala Lumpur – Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin (gambar) yang baru keluar dari penjara negara itu kerana didapati bersalah memukul anaknya, kembali ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 5.30 petang esok.

Perkara itu disahkan sumber Wisma Putra hari ini.

“Kepulangan ini dimaklumkan kepada ahli keluarga Azizul yang dijangka akan menyambutnya nanti,” katanya.

Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan menjalani hukuman tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal bagi kesalahan itu, bagaimanapun hukuman penjara itu dikurangkan dan masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi.

Empat anak pasangan itu yang pada mulanya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam kerana kes berkenaan, diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 30 Januari lepas.

Mereka pulang ke Malaysia dan kini dijaga oleh ibu saudara dan bapa saudara mereka di Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.