Kerana Bola, Gambit Terpaksa Jalani Pembedahan Lutut

HAMPIR dua tahun menyepi bukan bermakna dia merajuk. Dalam tempoh berkenaan dia sedar ramai yang mula bertanyakan ke mana hilangnya Gambit Saifullah daripada dunia lakonan tanah air.

Bagi lelaki ini, dia tidak menganggap kehilangannya sebagai satu perkara yang perlu dihebohkan memandangkan dia masih terlibat dalam beberapa program lain seperti rancangan Fear Factor Selebriti tahun lalu.

“Mungkin orang sudah lama tak melihat saya sebagai pelakon. Memang benar sejak dua tahun lepas saya kurang mengambil tawaran berlakon drama ataupun filem.

“Bukan merajuk cuma mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan saya sudah ada syarikat produksi sendiri yang perlu menguruskan banyak hal lain,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pun begitu Gambit tidak sesekali menolak andaian yang dirinya semakin cerewet dalam memilih watak-watak menarik yang difikir mampu memberikan titik perubahan sama ada kepada produk berkenaan mahupun dirinya.

Akuinya lagi, dia begitu rindukan dunia lakonan tetapi tawaran yang datang tidak kena dengan cita rasa dirinya dan atas dasar itu dia menyepikan diri.

“Sebagai pelakon saya tak boleh main ‘rembat’ sahaja semua tawaran. Kena ada pertimbangan dan kalau boleh biarlah watak yang diberikan lebih mencabar dan berkembang.

“Saya tak nafikan masih banyak tawaran yang datang kurang sesuai. Bukan hanya dalam bidang lakonan tetapi dalam semua pekerjaan pun orang tak mahu klise dan statik pada satu tempat sahaja,” jelas pelakon drama bersiri Awan Dania ini lagi.

Bercerita mengenai syarikat produksi miliknya, Gambit menjelaskan Eightball Productions sudah pun beroperasi selama lapan tahun dan menerbitkan banyak program televisyen.

Antara program yang telah diterbitkan termasuk rancangan Hooperz dan Sesat yang disiarkan baru-baru ini.

“Ini juga menjadi sebab mengapa saya berada di belakang tabir. Bukan senang nak jadi penerbit memandangkan saya perlu memerah otak untuk mencari idea-idea menarik untuk di ketengahkan.

“Sama ada menjadi pelakon atau menjadi penerbit saya anggap cabarannya sama besar sahaja. Soal peluang, ruang dan segala hal perlu diharungi dan jangan patah semangat,” luah Gambit lagi.

 

Peribadi

Baru-baru ini Gambit mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan di bahagian lutut akibat bermain bola sepak. Empat hari terlantar di sebuah hospital, kesihatannya kini semakin pulih.

“Sebenarnya sakit itu sudah lama. Apabila main bola sepak bahagian lutut terasa sakit. Mula-mula saya biarkan tapi akhirnya terpaksa menjalani pembedahan juga.

“Mujur tak lama di tahan di wad. Tapi sampai sekarang saya masih lagi ‘berpantang’ dan menjaga bahagian tersebut. Biarlah betul-betul pulih baru saya mahu aktif semula,” jelas pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini.

Menginjak usia 29 tahun, Gambit tidak menafikan sering kali diajukan pertanyaan tentang perkahwinan sama ada daripada keluarga, rakan-rakan dan peminatnya.

Mengakui hatinya masih lagi belum diisi oleh sesiapa, Gambit menegaskan dia masih solo dan tercari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri.

“Kalau ada wanita yang benar-benar sesuai saya akan terus meminangnya dan berkahwin. Itu janji saya pada diri. Tapi masalahnya sampai sekarang masih belum bertemu yang sesuai.

“Kalau cakap soal memilih, memang saya memilih. Nak berkahwin bukan sehari dua tapi untuk selama-lamanya. Saya tak rasa perlu terburu-buru memilih isteri hanya untuk memuaskan hati orang lain.

“Yang nak hidup bersamanya saya, bukan orang lain,” jelas Gambit berterus-terang.

Untungnya, keluarga lelaki ini tidak pernah memberikan desakan mahupun tekanan kepada dia untuk bernikah cepat seperti pasangan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.