Israel Tekad Serang Gaza Habis-Habisan

Baitulmaqdis – Ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menggesa gencatan senjata dilaksanakan bagi menghentikan penderitaan berdarah rakyat Palestin, Israel terus angkuh apabila enggan menamatkan serangan sebaliknya akan terus melancarkan bedilan ke Semenanjung Gaza, lapor AFP.

Bercakap pada satu sidang media di Tel Aviv malam tadi, Perdana Menteri Israel Benjamin Netahyahu dengan angkuh berkata, pihaknya tidak akan menghentikan kempen ketenteraan ke atas Gaza sehinggalah matlamatnya menghapuskan pejuang Hamas tercapai.

“Tekanan antarabangsa tidak mampu menghalang kami daripada meneruskan serangan terhadap Hamas. Pejuang Hamas akan digempur habis-habisan,” katanya.

Pada Jumaat, Presiden AS Barack Obama menghubungi Netanyahu dan menawarkan untuk menjadi orang tengah dengan menggunakan pengaruhnya di Asia Barat.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh yang merupakan pegawai kanan Hamas turut menolak kemungkinan menamatkan serangan mereka.

“Israel yang memulakan tindakan agresif ini dahulu dan rejim Yahudi itu perlu dihentikan kerana kami hanya mempertahankan wilayah kami,” katanya.

Israel berkata, persediaan melancarkan serangan darat sedang diadakan dengan kereta kebal dan jentera berat lain bersama 33,000 askar simpanan dikerahkan ke sempadan.

Sementara itu, sebanyak 16 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel hari ini, meningkatkan angka kematian serangan rejim Zionis itu pada hari kelima kepada 121 orang, sementara sebanyak 920 orang cedera.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan terbaharu Israel itu menyaksikan tiga orang maut di kawasan perumahan Tufah, di Gaza City.

Dalam pada itu, kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin menyaksikan demonstrasi mengecam rejim Yahudi tersebut diadakan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Kanada, Magribi, Greece dan AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.