DAP Mahu Malaysia Isytihar Perang

Kota Kinabalu – Ketua pembangkang Sabah mahu negara mengisytihar perang ke atas kumpulan lelaki bersenjata yang membunuh seorang polis marin berpangkat koperal serta menculik rakannya berpangkat konstabel dari sebuah resort di Pulau Mabul, dekat Semporna, pada Sabtu malam.

“Kita patut mengisytiharkan perang atas perbuatan mereka itu,” kata Ketua DAP Sabah, Jimmy Wong.

Tambahnya, negara kehilangan seorang pejuang muda yang telah menjaga negeri dan negara ini, maka kita perlu memastikan pengorbanannya tidak sia-sia.

Dia turut menyeru rakyat Sabah supaya bangkit, tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing dan bersama-sama bersatu sebagai rakyat Malaysia, mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya menyeru Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri supaya memfailkan usul tergempar. Pasukan tentera kita ditembak dan diculik. Ini serius. Ini krisis keselamatan dalam negeri dan kami di barisan alternatif bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani isu ini secepat mungkin.

“Saya menyeru Perdana Menteri untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Tergempar Ahli Parlimen Terpilih dengan wakil daripada kedua-dua belah aliran politik. Sudah tiba masanya untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengetepikan perbezaan dan bersatu untuk kebaikan negara,” kata Wong.

Sambil menekankan isu itu ‘serius’, katanya, sudah berkali-kali penjenayah dari negara jiran, Filipina keluar masuk Sabah seperti taman permainan mereka.

“Kita perlu ada pendirian. Kita mungkin mempunyai perbezaan fahaman politik, tetapi dalam situasi begini, kita perlu bersatu padu seperti yang pernah dikatakan oleh Abraham Lincoln, kita bukan musuh, kita tidak perlu jadi musuh, mungkin semangat kita semakin kurang, tetapi ia tidak sepatutnya menjejaskan ikatan kasih sayang kita.

“Ikatan kasih sayang inilah yang ada dalam masyarakat kita. Keselamatan kita terancam, penduduk Sabah tidak sepatutnya hidup dalam ketakutan.

“Sudah tiba masanya kita bangkit dan membuat kenyataan bahawa kita tidak akan bertolak ansur, sekiranya seorang daripada kita diculik/seksa/ditembak, apatah lagi anggota pasukan keselamatan kita. Inilah sepatutnya semangat patriotik kita,” kata Wong yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

Dia turut menyeru Najib selaku panglima agung, mengetuai perjuangan itu.

“Mereka menyerang kita sewaktu anda (Najib) meninggalkan Sabah malam tadi. Mereka sengaja membuat provokasi terhadap anda dan menyebabkan pertumpahan darah.

“Maka dengan ini, saya menyeru Perdana Menteri untuk mengetuai perjuangan ini. Dan sekiranya anda bangkit, pasti yang lain akan menyusul. Jadilah seorang lelaki sejati, dan ambil keputusan yang betul. Selesaikan masalah ini,” katanya.

Najib berada di Sabah untuk lawatan singkat, termasuk menghadiri dua mesyuarat dan berbuka puasa serta makan malam bersama pemimpin Barisan Nasional dan penduduk Sabah, sebelum meninggalkan Sabah kira-kira jam 10 malam.

Pada jam 11.10 malam, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang hendap dan melepaskan tembakan di Resort Water Bungalow, Pulau Mabul, menyebabkan Korporal Ab Rajah Jamuan maut, sebelum melarikan diri.

Manakala Konstabel Zakia Aleip pula didapati hilang selepas insiden itu, dan dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata berkenaan.

One thought on “DAP Mahu Malaysia Isytihar Perang

  • July 14, 2014 at 7:37 am
    Permalink

    bila masa najib tu panglima agung… ingat malaysia ni negara republik ke apa

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.