Cheryl Cole Mabuk Cinta

London – Penyanyi, Cheryl Cole bersedia mengahwini teman lelakinya, lapor The Mirror.

Juri X Factor berusia 31 itu dikatakan “mabuk cinta” dengan Jean-Bernard Fernandez-Versini, 33 tahun.

Mereka baru berpacaran selama tiga bulan.

Usahawan kelab malam Perancis itu telah memberitahu Cheryl yang dia berharap dapat mengahwini wanita itu dan kata-kata Jean-Bernard itu membuatkan Cheryl “tergamam” dan “teruja”.

Kini, Cheryl memberi bayangan dia mungkin menerima lamaran perkahwinan teman lelakinya itu.

Teman rapat pasangan itu berkata: “Hubungan mereka memang panas dan Jean-Bernard adalah seorang lelaki yang mengikut gerak hati.

“Masih awal lagi, tetapi Jean-Bernard tidak malu-malu meluahkan perasaannya kepada Cheryl. Dia merasakan mereka sangat sepadan dan mahu mengahwini Cheryl.

“Bagi mereka yang tidak mengenali Jean-Bernard mungkin menganggapnya seorang yang terburu-buru tetapi, dia orang Perancis – dia tidak memendam perasaan.

Sahabat Cheryl gembira, wanita itu akhirnya menemui cinta baru, selepas bercerai dengan bekas pemain bola sepak kelab Chelsea, Ashley Cole, 33 tahun, empat tahun lalu.

Mereka bercerai selepas Ashley didakwa bermain kayu tiga, dan perceraian itu menyebabkan Cheryl takut mencari cinta baru dan berkahwin lagi.

Namun, sahabat Cheryl berkata: “Cheryl memang mabuk cinta dengan Jean-Bernard dan sudah lama tidak gembira seperti itu.

“Ada kalanya rakan-rakan Cheryl fikir dia tidak akan berkahwin lagi, tetapi kekasihnya itu mengubah hatinya dan kami gembira melihat dia bahagia.”

Pasangan itu bertemu di Pesta Filem Cannes, di mana Jean-Bernard mengendalikan kelab pop, Cosy Box.

Jean-Bernard juga dikatakan sudah bertemu dengan keluarga Cheryl, dan berada di Edinburgh minggu lalu, untuk memberi sokongan kepada teman wanitanya itu yang kembali sebagai juri X Factor.

Malah, bos X Factor, Simon Cowell turut gembira dan bercadang bekerjasama dengannya dalam satu perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.