Abdul Khalid Terus Terima Asakan

SHAH ALAM – Kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menerima asakan pengunduran bertubi-tubi daripada sekutunya yang secara terang-terangan tidak berpuas hati dengan cara pemerintahan beliau.

Senario PR ketika ini ialah sedang mengumpul suara dari akar umbi setiap cabang parti termasuk Adun dan Ahli Parlimen untuk dibawa ke peringkat pimpinan pusat seterusnya memuktamadkan status menteri besar itu.

Adun Batu Caves (PKR), Amirudin Shari berkata, penilaian corak pemerintahan Abdul Khalid sedang ditimbang tara berdasarkan beberapa kepincangan dan kelemahan yang dihadapi kerajaan negeri dalam tempoh mutakhir ini.

“Buat masa ini komponen PR sedang berbincang keperluan pengunduran Abdul Khalid bermula dari akar umbi sebelum koleksi pandangan berkenaan dibawa ke peringkat tertinggi untuk diputuskan sama ada kekal atau diturunkan.

“Isu pertukaran ini perlu dibuat berhati-hati kerana ia melibatkan banyak perkara membabitkan hal pembangunan, urusan pentadbiran negeri termasuk strategi berkesan berdepan PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Amirudin memberi bayangan seolah-olah pengunduran Abdul Khalid itu perlu dilakukan  tetapi keputusan besar itu wajar ditimbang tara secara teliti kerana setiap perubahan drastik memerlukan penyesuaian terbaik.

Katanya, pertukaran itu perlu tapi banyak penyesuaian baharu harus difikirkan.

“Kita takut salah pandang jika tergesa-gesa dan ia mendatangkan risiko PR pada Pilihan raya Umum ke -14 akan datang.

“Adun dan ahli parlimen sedang bincang termasuk juga akar umbi sama ada penentuan kekal atau tidak. Ia dalam proses dan tak perlu tergesa-gesa kerana banyak perkara wajar dipertimbangkan masak-masak, gesaan saya cuma keputusan ini perlu dibuat,” katanya.

Kelmarin, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbincangan tertutup berhubung kedudukan menteri besar itu dibuat secara tertutup dan persefahaman telah dicapai bagaimanapun langkah itu tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

Ditanya mengenai calon gantian yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor sekiranya pengunduran ini terlaksana, beliau hanya memaklumkan antara nama yang dicanang ialah Mohamed Azmin Ali dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail manakala Pas juga ada calon mereka.

Sementara itu, Adun Hulu Klang (Pas), Saari Sungib turut memberi respons sama malah beliau menegaskan kemelut pertukaran menteri besar ini bukan perkara baharu malah ia dicetuskan sejak pengenalan Langkah Kajang.

“Pelbagai pandangan telah didengar, oleh itu tunggu saja keputusan daripada pusat untuk muktamadkan pertukaran kerusi menteri besar ini.

“Lagipun benda itu dah jadi isu sejak Langkah Kajang tetapi tiada keputusan muktamad. Sekarang bincang peringkat akar umbi dan akan dibawa ke peringkat pusat untuk diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Sekinchan (DAP), Ng Suee Lim berkata, sebagai Adun terpaksa akur dengan keputusan kepimpinan parti yang dibincangkan bersama Majlis Pimpinan PR.

http://www.sinarharian.com.my/politik/abdul-khalid-terus-terima-asakan-1.299288

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.