CYBERJAYA – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Armizan Mohd Ali, menyarankan agar GRS bersedia menghadapi Barisan Nasional (BN) secara langsung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai tanda menghormati pendirian Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.
Menurutnya, kenyataan Bung yang mahu kerjasama BN-GRS hanya dipertimbangkan selepas PRN wajar dihormati, memandangkan kedudukan Bung sebagai ketua Umno negeri yang memiliki kuasa autonomi.
“Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung dan tidak ada sesiapa walau di peringkat mana sekalipun wajar membelakangkan pendirian Bung sebagai ketua Umno Sabah yang berautonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Papar itu turut menjelaskan bahawa kenyataannya adalah berdasarkan pandangan peribadi, bukan pendirian rasmi parti. Namun, beliau berpendapat pertembungan antara GRS dan BN boleh menjernihkan kekeliruan politik dan membuktikan kekuatan sebenar di lapangan.
“Hanya dengan bertarung kekuatan sebenar akan menoktahkan isu siapa khianat dan siapa yang kuat. Tidak akan ada lagi tuduh-menuduh calon parti A menang bukan kerana kekuatan sendiri tapi kerana parti B dan sebaliknya,” ujarnya lagi.
Armizan juga menyatakan GRS kekal terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRN, sambil memuji pendirian PH yang konsisten menolak Langkah Kinabalu dan terus menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada. Saya fikir melihat kepada suara dan sentimen para pemimpin dan pendokong GRS di akar umbi mereka memang mahu bertembung dengan BN,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan GRS-PH di peringkat kerajaan persekutuan tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada pertembungan politik yang sihat di peringkat negeri.