MITA umum kenaikan 20 peratus harga sewa bas, van persiaran bermula 17 Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) mengumumkan kenaikan 20 peratus harga sewaan bas dan van persiaran bermula 17 Jun ini.

Presidennya, Leong Hoon Min, berkata kenaikan itu sementara menunggu keputusan dibuat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kementerian lain yang berkaitan isu subsidi yang akan dibincangkan bulan depan.

“MITA akan memantau kenaikan harga berkenaan dari semasa ke semasa selaras harga minyak diumumkan kerajaan.

“Kenaikan harga tertakluk keadaan semasa dan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperimanusiaan dan penyelesaian jangka pendek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan tiada rancangan untuk memberikan subsidi diesel kepada baspersiaran kerana ia sebahagian besarnya digunakan oleh pelancong asing.

Beliau menegaskan, syarikat bas dan van lain akan menerima subsidi sebagai ganti harga diesel yang diapungkan.

Dalam pada itu, Hoon Min berkata MITA akan berbincang dengan pihak berkaitan sehingga mendapat satu keputusan terbaik untuk jangka masa panjang, sambil mengalu-alukan pemain industri untuk sama-sama berjuang dalam usaha berkenaan.

“Kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi bas dan van persiaran meningkat secara mendadak, sekali gus membebankan pengusaha dan memberi impak kepada tempahan awal pelancong,” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumum setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

Mengulas lanjut, Hoon Min berkata kenaikan kos bahan api akan menyebabkan kesan berantai kepada harga dan membebankan pelancong, terutamanya pelancong tempatan.

“Kenaikan harga minyak itu akan memberi kesan negatif kepada pelancong tempatan, mengurangkan kemampuan mereka untuk melancong dalam negara.

“Ia juga memberi kesan kepada operasi harian pengusaha bas pelancongan dan mengurangkan keupayaan mereka untuk beroperasi dengan cekap dan berkesan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat