Guru bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan.

“Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah. Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru bahasa Inggeris dari Singapura…itu salah.

“Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong) ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, Malaysia menyuarakan permintaan kepada Singapura bagi menghantar tenaga pengajar khusus pembelajaran bahasa Inggeris dalam membantu golongan pelajar di negara ini.

Perdana Menteri berkata, perkara itu merupakan permohonan ‘kecil’ namun bersifat penting di sebalik pelbagai isu besar yang dibincangkan ketika pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia selepas dilantik memegang jawatan berkenaan.

Anwar berkata, Wong juga turut menyambut baik permohonan itu yang mana kumpulan tenaga pengajar tersebut boleh dipilih dalam kalangan graduan muda untuk dihantar mengajar ke beberapa daerah di negara ini bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta subjek lain.

“Kami berbincang tentang kemungkinan Singapura boleh menghantar guru untuk mengajar bahasa Inggeris atau beberapa mata pelajaran lain ke banyak daerah di negara ini.

“Saya amat berbesar hati kerana Wong bersedia untuk bersetuju dengan perkara ini secara positif.

“Ini bukan sesuatu yang kami sediakan melalui pegawai,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat