CYBERJAYA – Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) hari ini menyatakan bantahan keras dan tidak bersetuju sepenuhnya dengan arahan Menteri terhadap cadangan melantik pihak luar dalam pentadbiran dan pengoperasian Tourism Malaysia di dalam dan luar negara.
Dalam kenyataannya KPPLPPM berkata tindakan tersebut tidak bertepatan dan tidak bersesuaian dengan pendekatan Keluarga Malaysia Madani yang di bawa oleh Kerajaan Perpaduan sebagaimana aspirasi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-10.
“Keluarga Malaysia Madani sewajarnya sentiasa menjaga keharmonian dan toleransi yang tinggi dan tidak membuta-tuli menekan sesama ahli Keluarga Malaysia Madani.
“Urustadbir Tourism Malaysia hendaklah dilaksanakan berlandaskan peraturanperaturan yang berkuatkuasa termasuk dalam melantik dan menempatkan kakitangan di pejabat-pejabat dalam dan luar negara.
“Hal tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui sebelum ini di antara pihak Kesatuan dan pengurusan di dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dalam penetapan kriteria-kriteria pemilihan, pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai Tourism Malaysia.
“Melantik pihak luar yang tidak mempunyai latar belakang pentadbiran kerajaan mahupun industri pelancongan akan menimbulkan permasalahan dalam urusan perolehan dan tatacara kewangan kerajaan yang kompleks. Ianya memerlukan pemahaman yang amat mendalam sebelum sesuatu proses perolehan dilaksanakan,” katanya.
Menurut KPPLPPM lagi, pegawai kerajaan yang berpengalaman lebih 20 tahun juga seringkali menerima teguran audit dalam hal perolehan, apatah lagi seseorang yang tidak mempunyai pemahaman sistem kerajaan ingin dilantik oleh Menteri kononnya untuk mengetuai pejabat-pejabat Tourism Malaysia.
“Peranan seorang penjawat awam bukan sahaja berkisar kepada pelaksanaan agenda kerajaan bahkan perlu menjaga hubungan diplomasi di antara Kerajaan dan Pemain Industri, Kerajaan dan Agensi Kerajaan, Kerajaan dan Kerajaan Negeri serta Kerajaan dan Kerajaan lain.
“Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM ingin memetik ucapan YAB PMX sebelum ini bertarikh 29 November 2022 yang disiarkan di dalam media iaitu peringatan kepada barisan kabinet untuk sama sekali tidak mencampuri dan mengganggu urustadbir seharian agensi kerajaan.
“Arahan YB Menteri terhadap cadangan yang tidak mempunyai asas, tidak rasional dan bersifat menjurus kepada spekulasi kepentingan individu juga akan mengganggu hal ehwal kebajikan kakitangan Tourism Malaysia terutama dari segi pembangunan karier kerana ianya akan menutup peluang kenaikan pangkat dan juga pusingan kerja.
“Situasi ini akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam persekitaran kerja dan akhirnya membawa kepada permasalahan kesihatan mental penjawat awam.
“Para pegawai Tourism Malaysia hanya bergantung harap terhadap kenaikan pangkat dan pusingan kerja dalam memperbaiki taraf kehidupan mereka memandangkan skim perkhidmatan masih belum ditambahbaik oleh pihak kerajaan. Jikalau perkara ini terjadi, adakah Kerajaan Perpaduan pada hari ini sekali lagi menjadi kerajaan yang memberhentikan dan menamatkan anggota perkhidmatan awam?,” ujarnya lagi.
Selain itu, KPPLPPM juga membantah perancangan Menteri terbabit untuk melantik individu luar yang diragui latar belakang untuk menganggotai pentadbiran Tourism Malaysia dan menukar pegawai sedia ada ke agensi lain.
“Kesatuan ingin mengingatkan sekali lagi bahawa, proses pertukaran dan pelantikan hendaklah berlandaskan peraturan semasa yang berkuatkuasa dan bukan dengan memberi arahan secara sembereno dan membuta tuli tanpa memahami peraturan kerajaan sepenuhnya.
“Industri pelancongan negara pada ketika ini melalui Tourism Malaysia perlu perlu diterajui oleh pegawai dalaman yang lebih berpengalaman dalam merancang, melaksanakan, memantau dan menilai keberkesanan pelan pemasaran dan pelan strategik pelancongan negara.
“Tourism Malaysia telah membina jalinan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai pihakdi dalam dan luar negara serta pegawai sedia juga terbukti berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi di dalam industri pelancongan negara walaupun situasi ekonomi global yang tidak menentu.
“Arahan-arahan yang dikeluarkan secara membuta tuli dan tanpa melalui sebarang rundingan dengan pihak pekerja merupakan satu tindakan yang membelakangkan Konvensyen 98 Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan hak berunding yang diamalkan di Malaysia melalui Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan.
“Pihak Kesatuan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tindakan perusahaan dibawah Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja untuk melaksanakan piket dan mogok seandainya YB Menteri masih berkeras dan menekan Tourism,” katanya.