Otai Reformasi Gesa Dr Mahathir Hormat Konsesus PH, Jangan Lantik Jawatan Ikut Suka

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa menggunakan ‘kuasa veto’ dalam pentadbirannya apabila membuat keputusan sendiri terhadap pelantikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail mendakwa, tingkah laku Mahathir itu jelas dilihat melalui keputusannya melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya baru-baru ini.

Malah, beberapa pelantikan lain seperti pelantikan Ketua Polis Negara, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Peguam Negara turut diputuskan sendiri oleh beliau tanpa melalui Jawatankuasa Pemilihan Parlimen, katanya.

Menurut beliau, apa yang lakukan oleh Mahathir itu telah melanggar konsensus dalam Pakatan Harapan (PH) dan ia sememangnya tidak wajar berlaku dalam pentadbiran kerajaan Malaysia Baharu.

“Prerogative (budi bicara) yang diamalkan oleh perdana menteri ketika ini adalah apa yang diamalkan oleh UMNO dulu.

“Mahathir kena faham, sekarang ini adalah konsensus sebenarnya yang perlu dihormati. Konsensus yang dipersetujui apabila menang PRU-14 bahawa jawatan-jawatan utama perlu pergi kepada jawatankuasa pemilihan yang ditubuhkan dan Majlis Presiden.

“Itulah konsensus tetapi apabila Mahathir menggunakan kuasa veto, dia melantik ketua Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kita terperanjat, kamu lantik tidak ikut Parlimentary Select Comittee,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak mendakwa Mahathir telah menggunakan corak pemerintahan seperti yang beliau pernah lakukan ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun di zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

Tegasnya, Mahathir seharusnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi jika ia mempunyai hubung kait terhadap perjawatan tinggi dalam kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Mahathir bahawa berdirinya kerajaan pada hari ini dibina di atas tiket PKR yang merupakan parti terbanyak dalam PH.

“Kalau nak diikutkan Bersatu (PPBM) ini ada 18 kerusi sahaja nak dibandingkan dengan PKR ada 49 (kerusi).

“Dia (Mahathir) kena respect rakan dalam PH bukan kamu ada 18 kerusi tapi kamu kawal macam kamu kawal UMNO dulu.

“Itu mesej yang kita nak bagitau Mahathir ini. Itulah sebab kita nak kenapa perlu dipercepat bagi dateline (serah jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya dia tidak buat lagi keputusan-keputusan yang melanggar persetujuan konsensus PH. Kita nak dia dipantau lebih-lebih lagi tindak-tanduk dia,” tegasnya. – MalaysiaGazette

One thought on “Otai Reformasi Gesa Dr Mahathir Hormat Konsesus PH, Jangan Lantik Jawatan Ikut Suka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.