Penyokong Neymar dan Messi Bergaduh Guna Parang

DHAKA – Bahang Piala Dunia 2018 turut dirasai di Bangladesh apabila penyokong Brazil dan Argentina berparang di atas jalan raya dengan bendera dua negara itu dikibarkan di seluruh negara sehingga mendapat bantahan segelintir pihak.

Meskipun tiada sebarang kaitan dengan dua gergasi Amerika Selatan itu, Bangladesh yang menghuni ranking ke-194 dunia tidak layak beraksi di pentas berprestij itu, namun demam Piala Dunia tetap melanda penyokong di negara terbabit.

Berdasarkan laporan polis, penyokong tempatan yang menyokong Lionel Messi dan Neymar bergaduh menggunakan parang sehingga mengakibatkan seorang lelaki dan anaknya cedera parah di tengah bandar minggu lalu.

Sementara itu, budak lelaki berusia 12 tahun maut apabila terkena renjatan elektrik ketika cuba memasang bendera Brazil pada tiang di tepi jalan.

Bendera Argentina dan Brazil menguasai bandar raya yang memiliki populasi 160 juta orang itu berminggu-minggu sebelum bermulanya Piala Dunia di Russia, esok.

Penyokong kedua-dua pasukan memegang bendera bagi menunjukkan kesetiaan mereka. Di kawasan sebelah utara Madarganj, konvoi motosikal turut diadakan dengan ratusan penyokong mengibarkan kain rentang.

“Mereka mengadakan mesyuarat untuk merancang pelbagai kegilaan. Anda dapat rasakan ketegangan dan keterujaan di seluruh bandar,” kata ketua polis tempatan, Mohammad Rafique.

Bagaimanapun, segelintir penduduk mahu menamatkan perkara ini.

Seorang peguam cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menyekat bendera pasukan Piala Dunia daripada dikibarkan.

Universiti Barisal yang terletak di selatan Bangladesh turut mengharamkan 7,000 penuntutnya daripada mengibarkan bendera pasukan Piala Dunia di kampus.

“Kerajaan seharusnya mengharamkan mana-mana bendera asing daripada berkibar di Bangladesh,” kata ketua universiti, S M Imamul Haq. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.