Rangka Nuri Ditular Adalah Barangan Dilupus

Gambar rangka Helikopter Nuri M23-15 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tular di media sosial adalah barangan dilupus dan ia ditempatkan di sebuah bengkel barangan lusuh di Sungai Petani, Kedah.

Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan semalam berkata ia merupakan rangka kosong yang dihantar untuk kerja-kerja pemotongan dan perkara itu dibuat mengikut Pemeriksaan Pelupusan aset alih.

“Kerja-kerja pemotongan rangka helikopter itu hanya dapat dilaksanakan semalam (12 Jun) dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada Jumaat ini. Pelupusan rangka helikopter dibuat secara jualan sisa yang dipotong terlebih dahulu manakala komponen mekanikal telah dikeluarkan serta diserahkan kepada TUDM untuk dibaikpulih bagi kegunaan operasi.

“Atas faktor keselamatan, rangka helikopter berkenaan telah dikeluarkan daripada Pangkalan Udara Butterworth pada Jumaat lepas dan dihantar ke bengkel barang-barang lusuh milik Encik Hamid Yakoob,” kata kenyataan itu.

Gambar helikopter Nuri itu telah menjadi tular di media sosial Ahad lepas dan ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pihak tertentu serta mencalarkan imej Kementerian Pertahanan serta TUDM.

Selaras dengan pemeriksaan pelupusan aset alih yang dilaksanakan pada 14 November lepas kerajaan telah memutuskan untuk melupuskan aset alih kerajaan pesawat itu pada Disember tahun lepas.

Helikopter yang dilupuskan itu telah terlibat dalam kemalangan di Pulau Perak pada Disember 2013 manakala faktor utama pesawat ini dilupuskan adalah kerana rangka pesawat berkenaan telah mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunakan lagi, katanya.

“Memandangkan keadaan fizikal helikopter Nuri itu yang mengalami kerosakan teruk dan pihak kerajaan pula terpaksa menanggung kos yang amat tinggi, maka kerajaan memutuskan bahawa Nuri terpaksa dilupuskan serta tidak dibaiki sebagai bahan pameran di mana-mana muzium, ” kata kenyataan itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.