Polis Siasat Kes Video Kanak-Kanak Tiga Tahun Diberi Dadah

Polis sedang giat untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang video dia dipaksa menghisap dadah tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata ia selepas nenek mangsa yang berusia 53 tahun dan menetap di Gurun membuat laporan polis pada 4.39 petang kelmarin selepas melihat video tersebut.

Katanya, pada Isnin lalu, nenek mangsa melihat tujuh rakaman video yang telah dihantar oleh seorang lelaki .

“Di dalam rakaman tersebut, cucunya dilihat dalam keadaan tidak berbaju dan khayal selepas diberi dadah jenis syabu oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nenek mangsa, katanya, tidak pasti sama ada kejadian dilihat melalui rakaman video tersebut benar atau tidak.

Beliau berkata nenek mangsa juga ingin menuntut kembali hak penjagaan ke atas cucunya yang tinggal bersama ibu kandungnya, kerana bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu.

Katanya polis sedang mengesan suspek yang telah dikenal pasti dan usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak Kanak 2001, katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.