Polis Ambil Keterangan 4 Pemandu ‘Samseng’ Laku Aksi Bahaya

KUALA LUMPUR – Empat pemandu yang dipercayai terlibat dalam kes menghalang lalu lintas dan melakukan aksi berbahaya berhampiran sebuah sekolah di Kelana Jaya, Petaling Jaya dekat sini ketika mengiring kenderaan rakan mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 4 Jun lalu telah diambil keterangan minggu lepas.

Kejadian itu tular selepas rakaman video aksi berbahaya itu dimuat naik di laman sosial WhatsApp dipercayai pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, selain mengambil keterangan, pihaknya turut menyita dua buah kereta kerana didapati melakukan ke­salahan mengubah suai kenderaan dari spesifikasi asal.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya dan kes ini disiasat di bawah Seks­yen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian 4 Jun lalu, sekumpulan pemandu kereta bertindak keterlaluan dengan menghalang lalu lintas ketika meraikan perkahwinan rakan mereka sehingga menyebabkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengguna jalan raya.

Paparan video berdurasi dua minit 14 saat yang tular sejak beberapa hari lalu menunjukkan enam buah kenderaan diubah suai bertindak memberhentikan kereta masing-masing bagi mengiringi sebuah Toyota Velfire membawa pasangan pengantin.

Video itu turut memaparkan tindakan seorang pemandu kereta jenis Volvo memasang lampu siren dan bertindak menghalang laluan di kedua-dua arah.

Turut terpapar, pemandu sebuah kereta membuat aksi berbahaya dengan melakukan pusing­an di sekeliling kereta pengantin sebanyak lima kali sebelum kesemua kenderaan bergerak meninggalkan tempat kejadian. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.