Pengguna Digesa Guna Hak Boikot Peniaga Bazar Ramadan

JITRA – Pengguna terutama suri rumah diminta menggunakan hak sebagai pengguna untuk memboikot peniaga yang gagal menjaga kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan di bazar Ramadan di negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Katanya, sudah tiba masanya orang ramai membuat pilihan yang bijak dengan memilih premis yang bersih dan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan jabatan kesihatan agar tidak mengundang kes keracunan makanan.

“Buat masa ini kita tidak terima aduan lagi, tetapi kita ada dengar cakap-cakap orang makan sampai sakit perut, jadi saya mohon pengguna segeralah buat aduan kepada kita agar tindakan tegas dapat kita lakukan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan “Ops Bazar Ramadan” di Taman Mahsuri di sini, petang semalam.

Dalam operasi tersebut, seramai 40 pegawai dan anggota yang terdiri kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, pegawai Jabatan Kesihatan negeri dan anggota Penguatkuasa Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) terlibat dalam operasi yang bermula 4.30 hingga 7 malam.

Katanya, sekiranya peniaga atau pengendali makanan tidak mematuhi peraturan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kompaun maksimum sebanyak RM5,000 boleh dikenakan.

“Ini tidak termasuk kesalahan-kesalahan di bawa Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang turut menyediakan denda yang berat kepada pengendali makanan yang mengabaikan aspek kebersihan diri dan premis,” katanya.

Katanya, pemantauan di bazar Ramadan akan berterusan hingga akhir Ramadan ini bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan terjamin.

Katanya, sejak awal Ramadan, aktiviti pemantauan telah diadakan terhadap 62 premis pembekal bahan-bahan mentah seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan barangan runcit di negeri ini.

Ini termasuklah tujuh premis pembekal ais untuk pastikan bahan-bahan mentah yang dibeli dan digunakan bazar Ramadan berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Mengikut rekod, sehingga minggu kedua Ramadan, sebanyak 3,065 premis di bazar Ramadan telah diperiksa di mana sembilan notis kompaun telah dikeluarkan dan 178 arahan pembetulan telah diberikan kepada pengusaha premis terlibat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.