Nonny Tidur Bawah Jambatan

“Pernah suatu ketika kami semua tidur di bawah jambatan, di balai raya, rumah jiran asalkan ada tempat berteduh kerana tiada rumah. Makan pun bercatu,”kata pelakon Nonny Nadirah, 28, yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) yang kini mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Katanya, ketika itu, dia bertekad mencuba nasib dalam AF5.

“Saya telah tetapkan niat untuk membantu keluarga. Kami orang susah, ibu bapa sudah bercerai, adik-beradik pun ramai.

“Kenangan (tidur bawah jambatan) itulah yang berjaya membuatkan saya bertahan sehingga ke hari ini. Bukan nak bangga, sekurang-kurangnya cukup duit menampung keluarga,” cerita anak kelima daripada sembilan beradik, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu, seperti memetik Utusan.

Menjelaskan lebih lanjut perjuangannya, Nonny mengakui dia tidak mudah tidak mengaku kalah. Selepas kontraknya dengan Astro tamat, dia cuba mengatur langkah sendiri.

Menurutnya, apabila terpaksa berdikari diakui bukan mudah untuk meneroka jauh membina kerjaya dan dia pernah terfikir untuk berputus asa dan bekerja di pejabat seperti orang biasa.

Namun setelah mengenangkan semula keperitan yang dilalui, dirasakan seperti sia-sia jika dia membuat keputusan mengundur diri.

“Justeru saya kuatkan semangat, cuba mengintai peluang berlakon daripada terlalu bergantung kepada nyanyian. Saya kena lakukan sesuatu untuk mencari rezeki menyara keluarga,”katanya.

Menurutnya, selain berlakon, Nonny sebenarnya masih menyimpan hasrat untuk mengeluarkan single. Menjangkakan akan tampil dengan produk baharu selepas raya, dia berharap laluannya dipermudah kerana begitu meminati bidang nyanyian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.