Mata Pelajaran ‘Budi’ Wajib Di Sekolah, IPT

KUALA LUMPUR – Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Rais Yatim berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan supaya sukatan pelajaran budi atau bimbingan budaya diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Sehubungan itu, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata mata pelajaran itu penting sebagai asas pembentukan budaya dan cara hidup rakyat negara ini dalam usaha melahirkan masyarakat yang memiliki ketinggian budaya.

“Selaras dengan Kongres Budaya 2017 baru-baru ini, saya akan menemui Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 15 Jun (Khamis) ini bagi membincangkan sukatan pelajaran budi.

“Kita akan membincangkan skop mata pelajaran ini dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian dan kita mahukan silibus budi ini membentuk jati diri bangsa termasuk budi pekerti, saling hormat-menghormati dan amalan gotong-royong,” katanya, lapor Bernama.

Menurutnya, perjumpaan pada Khamis ini akan turut membincangkan cara bimbingan dan penerapan budi dalam kalangan guru dan pendidik terlebih dahulu bagi memastikan penyampaian kepada pelajar lebih berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.