Lim Guan Eng Perlu Lapang Dada Terima Teguran Aktiviti Perjudian – PAS

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP seharusnya mengambil sikap berlapang dada menerima teguran yang dibangkitkan oleh semua pihak berhubung isu kegiatan perjudian yang didakwa semakin berleluasa di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohammad Fauzi Yusoff dalam pada itu menggesa apa jua tindakan tegas yang tertakluk dibawah bidang kuasa pentadbiran kerajaan negeri wajar dilaksanakan agar kegiatan perjudian di negeri itu dapat dibasmi.

“Apa yang kita bangkitkan ini sama ada benar atau tidak. Kerajaan negeri yang menjadi peneraju perlu berlapang dada dan mengambil teguran dan kritikan kita sebagai maklumat untuk melihat isu yang dibangkitkan itu.

“Kita nak supaya kerajaan negeri itu bertindak mengikut bidang kuasa yang dia ada. Maksudnya di sini diantara dua. Kalau kerajaan negeri situasi dia sekarang berlaku. Isu judi ini berlaku di merata-rata kita boleh tengok.

“Cumanya, sama ada betul atau tidak kerajaan negeri mengeluarkan lesen premis. Bukan lesen judi. Kalau kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen premis untuk kegiatan perjudian ini maka sudah tentulah kegiatan judi itu adalah kegiatan haram. Jadi, penyalahgunaan premis untuk kegiatan haram ini perlu diambil tindakan. Kita mendesak supaya diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menasihatkan pemimpin PAS agar bersikap rasional apabila meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP itu.

Lim berkata PAS sepatutnya ‘belajar’ tentang pentadbiran dan bidang kuasa negeri sebelum berfikir mahu menjadi parti pemerintah.

Lim berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Safuan Ujar yang mengkritik dasar dan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa menjadi punca kegiatan perjudian yang semakin berleluasa.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung DAP itu berkata mengenai isu perjudian, lesen untuk menjalankan aktiviti tersebut dikeluarkan oleh kerajaan pusat bukan dibawah bidang tadbir kerajaan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.