Exco Selangor Nafi Terlibat Gantung Program Kebajikan Ahli Parlimen PKR

SHAH ALAM – Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi memaklumkan portfolionya tidak ada kaitan dengan penggantungan program kebajikan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

“(Portfolio) Tidak ada kena mengena dengan perkara itu,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Terdahulu Daroyah dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berkaitan penggantungan program kebajikan di kawasan parlimen Wong.’

Wong dalam Facebooknya baru-baru ini berkata, ia terpaksa dilakukan selepas menerima satu surat daripada kerajaan negeri Selangor yang dihantar menerusi faks pada Jumaat lalu.

Wong bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan penggantungan program kebajikannya, termasuk kandungan surat tersebut.

Memetik kenyataan di Facebooknya, Wong meminta pemohon tidak membazirkan wang perbelanjaan semata-mata untuk datang ke pejabatnya.

Program kebajikan di bawah seliaan Wong kini memasuki tahun keempat dan ia dijalankan menerusi dana kerajaan negeri.

Pemimpin PKR itu memberitahu penggantungan program tersebut akan diteruskan sehingga tempoh masa tertentu.

Pejabat Wong pada sebelum ini juga pernah diaudit oleh Perbendaharaan Negeri Selangor yang didakwanya dilakukan tanpa pengetahuannya.

Daroyah ketika diminta mengulas lanjut hanya meminta Wong menjelaskan butiran surat itu secara terperinci.

“Saya tidak pasti mungkin ada perkara lain yang menyebabkan ia… Kena pastikan dia dapat faks atau surat itu dari mana. Jika dari kerajaan negeri dari jabatan,” katanya ringkas. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.