Dua Hilang, 13 Selamat Dalam Tragedi Kapal Karam Di Tanjung Keling

PUTRAJAYA – Seramai 13 anak kapal pengangkut barang milik Indonesia, KM Avatar, berjaya diselamatkan manakala dua lagi dikhuatiri hilang dalam kejadian kapal karam di perairan Tanjung Keling, Melaka awal pagi tadi.

Ketua Pengarah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Zulkifli Abu Bakar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 9.25 pagi daripada Jabatan Laut Johor mengenai kejadian di kedudukan 11 batu nautika di barat daya perairan Tanjung Keling.

Beliau memaklumkan, kesemua anak kapal yang terselamat dibantu oleh sebuah kapal dagang, MV UNDINE, yang kebetulan melalui kawasan itu ketika kejadian di mana angin bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.

“Maritim Malaysia melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bermula jam 10 pagi tadi dengan menghantar sebuah Bot Pengawal 49 dari Daerah Maritim 5 Linggi (DM5), Negeri Sembilan bersama 15 anggota serta sebuah helikopter AW 139 dari Stesyen udara Maritim Malaysia Subang, Selangor.

“Kesemua mangsa tragedi KM Avatar adalah rakyat Indonesia termasuk dua mangsa yang masih hilang iaitu Kapten dan tukang masak kapal berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Anggota dan Penyerahan Bingkisan Aidilfitri kepada semua Wilayah Maritim.

Turut hadir, Pengerusi PUSPANITA Maritim Malaysia, Datin Norsiah Tajol Aros; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Datuk Mohd Taha Ibrahim.

Pek Bingkisan Aidilfitri itu akan diserahkan kepada 1,100 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang akan bertugas sepanjang Aidilfitri tahun ini, sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) serta PUSPANITA Kecil Maritim Malaysia.

Zulkifli berkata, kesemua mangsa tragedi KM Avatar yang terselamat dibawa ke Jeti Parameswara, Bandar Hilir, Melaka oleh pasukan penyelamat Maritim Malaysia sebelum dibawa ke pejabat DM5 untuk tindakan selanjutnya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.