Cita-Cita Izhar Meninggal Dunia Ketika Sujud Solat, Tercapai


Seorang lelaki meninggal dunia dalam keadaan sujud ketika sedang menunaikan ibadah solat Terawih di sebuah masjid di Tebet, Jakarta Selatan.

Peristiwa berkenaan dirakamkan menerusi kamera CCTV di Masjid Al Ittihad. Kejadian berlaku semalam, ketika Allahyarham Izhar Moezalir, 57, sedang sujud pada rakaat akhir terawih.

Izhar duduk di tengah-tengah jemaah lain dan ketika mereka melakukan gerakan duduk di antara dua sujud dan tahiyat akhir, Allahyarham tidak berganjak.

Menyedari keadaan itu, jemaah lain telah menyentuhnya sebaik selesai sembahyang. Izhar sepatutnya menunaikan umrah hari ini namun tidak kesampaian.

Izhar berasal dari Bandung namun dia datang ke Tebet untuk mengadakan persiapan umrah bersama beberapa anggota keluarga lain. Mereka sekeluarga juga sempat buka puasa bersama pada Selasa sebelum menunaikan solat terawih di masjid.

Dalam pada itu, abang ipar Allahyarham, Gamawan berkata, Izhar pernah menyatakan dia mahu memiliki rumah yang dekat dengan masjid.

“Minggu lepas, dalam kumpulan whatsapp keluarga, ada yang berkongsi video seseorang meninggal dunia ketika sedang sujud dan ketika itu juga, Izhar memberitahu dia mahu meninggal seperti itu,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.