Beratus Lembu Dijangkiti Hawar Berdarah

KUALA TERENGGANU – Kes kematian membabitkan ternakan lembu dan kerbau akibat wabak Haermorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah meningkat kepada 340 ekor sejak wabak dikenal pasti pada 26 Mei lalu dengan anggaran kerugian sebanyak RM1.7 juta setakat ini kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Jusoh.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, hanya dua kes terbaharu dilaporkan berlaku di Kampung Lerek, Kuala Nerus pada 11 Jun lalu, manakala yang lain adalah kes kematian lama yang baharu dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, lapor Sinar.

Sehubungan itu katanya, keadaan masih terkawal berikutan jumlah kematian atau ternakan dijangkiti semakin menunjukkan penurunan berbanding peringkat awal jangkitan dikesan.

“Penyakit wabak ini berpunca daripada bakteria dan kita ada vaksin sebenarnya untuk membunuh bakteria ini. Kita kenal pasti sehingga ke hari ini sejumlah 284 ekor lembu dan 56 kerbau telah mati,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma Darul Iman, di sini.

Sehubungan itu, menurutnya, daripada jumlah tersebut, Marang mencatatkan kematian lembu dan kerbau paling tinggi dengan 315 ekor, Kuala Terengganu (23 ekor) manakala Kuala Nerus hanya membabitkan kematian dua ekor lembu dengan jumlah melibatkan pengusaha ternakan seramai 12 orang.

Menurutnya, dua kes kematian lembu di Kampung Lerek, Kuala Nerus adalah berpunca daripada jangkitan awal HS yang dibawa dari lokasi wabak di Merchang, Marang.

Katanya, walaupun kemungkinan jangkitan boleh merebak kepada kambing, rusa dan sebagainya namun setakat ini wabak hanya menyerang lembu dan kerbau di daerah Kuala Terengganu (sekitar Kampung Atas Tol dan Chendering) dan Marang (Merchang dan Rusila).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.