Ahli Keluarga dan Tertuduh Kes Bunuh Zulfarhan Menangis Sayu Di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Suasana tegang, sesak dan air mata menyelubungi Mahkamah Majistret Jalan Duta di sini hari ini kerana perbicaraan bagi kes bunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Kawasan dalam, perkarangan dan lobi mahkamah dipenuhi keluarga dan saudara lima pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa bagi siasatan kes tersebut.

Setiap ruang di dalam kamar mahkamah di bahagian tempat duduk awam dipenuhi ibu bapa, saudara mara tertuduh yang sudah menunggu sejak dari pukul 9 pagi tadi.

Pertuduhan bagi kes itu yang sepatutnya berlangsung jam 11 pagi namun lewat ekoran berlaku gangguan sistem di bahagian pendaftaran mahkamah.

Bagaimanapun pertuduhan itu hanya berlangsung kira-kira jam 2.45 petang dan kesemua tertuduh di bawa masuk ke dalam kamar mahkamah dengan masing-masing tangan bergari dan digandingkan bersama tertuduh bagi kes-kes lain.

Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, ada beberapa wanita dipercayai ibu kepada tertuduh yang menangis teresak-esak selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan.

“Kesian diorang, meskipun bukan anak kita tapi dia budak lagi. Kenapalah sampai jadi macam ini,” bisik seorang wanita kepada suaminya yang duduk disebelah wartawan MalaysiaGazette sambil menangis teresak-esak.

Suasana para pelajar yang ditahan memandang ke arah orang yang hadir bagi mencari-cari ibu dan bapa mereka sambil bergenang air mata juga menambah suasana pilu dalam mahkamah.

Lima penuntut UPNM hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Zulfarhan pada Mei lalu.

Seorang lagi penuntut universiti berkenaan didakwa bersubahat dengan lima tertuduh terbabit.

Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Zulfarhan di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, pada 22 Mei lalu.

Arwah Zulfarhan, 21, merupakan penuntut tahun ketiga jurusan kejuruteraan elektrik UPNM.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun, selepas dihantar untuk mendapatkan rawatan oleh beberapa rakan.

Mangsa memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di dada, tangan dan kakinya, dipercayai didera.

Kesemua yang ditahan reman berusia antara 20 dan 21 tahun. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.