Video: 80 Tandas Dibina Untuk Orang Asli

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

 

KUALA KANGSAR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bakal membina 80 tandas bagi masyarakat orang asli di sini.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan pembinaan tandas itu diberikan selepas menerima permintaan daripada masyarakat orang asli di dua buah kampung di Ulu Bekor dan Kampung Bukit Chermin.

 

“Saya difahamkan banyak rumah-rumah masih tidak mempunyai tandas dan sebagainya, jadi dua kampung ini (diperuntukkan tandas) 40 tandas di Kampung Bukit Chermin dan 40 lagi di Kampung Ulu Bekor.

 

“Kita juga memberikan sumbangan peralatan pertanian kepada beberapa orang penduduk di kawasan ini yang terlibat dalam sektor pertanian,”katanya di Program Input, Peralatan Pertanian, Program Mesra Minda dan Program Santai Malam di Kampung Ulu Bekor, Kuala Kangsar malam tadi.

 

Tambahnya, bentuk bantuan lainnya adalah seperti infrastruktur biasa daripada perkara asas yang sedia ada.

 

“Saya lihat daripada segi infra asas  yang telah ada. Cuma daripada segi penambahbaikan dan jalan perlu dinaiktaraf. Jadi daripada segi infra sudahpun mencukupi di sini.

 

“Api, air semua dah ada cuma aksesori tambahan seperti  (yang melibatkan) lampu jalan sahaja,”katanya.

 

Ditanya secara keseluruhan, berapa peruntukan yang melibatkan pembangunan infrastuktur di kawasan itu, beliau berkata, kos tersebut sekurang-kurangnya RM 1 juta bagi dua kampung tersebut.

 

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai sokongan yang ditunjukkan di kawasan itu, beliau berkata, masyarakat orang asli di sini atau di mana-mana sahaja amat menyokong kerajaan sedia ada.

 

“Saya lihat di Pahang atau di mana sahaja mereka adalah kumpulan penyokong tegar kerajaan. Saya lihat sehingga hari ini, mereka masih lagi tidak berubah, sokongan mereka terhadap kerajaan mereka tetap menyokong kerajaan.

 

“Saya tahu, masyarakat orang asli sedar bahawa keistimewaan banyak diberikan kepada mereka,”ujarnya.

 

Turut hadir di majlis itu, anak calon BN, Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23 dan Wan Mohammad Amar, 19.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.