Wanita Maut Terkena Peluru Sesat

Lille – Seorang wanita maut akibat terkena peluru sesat, ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di utara Perancis, pada Sabtu.

 

Menurut Datuk Bandar Marly, Fabien Thieme, ketika kejadian, wanita muda itu berada di tepi jalan, apabila beberapa tembakan dilepaskan daripada satu rombongan kereta pengantin untuk majlis perkahwinan lain.

 

“Wanita berusia 19 hingga 20 tahun itu tertembak di bahagian kepala. Mereka memandu melalui kawasan itu dan dia terkena tembakan itu,” katanya.

 

Pasukan paramedik merawat wanita itu di tempat kejadian, sebelum menghantarnya ke hospital, tetapi dia mati kemudian.

 

Suspek yang juga seorang lelaki berusia lewat 20-an ditangkap penduduk setempat, selepas dia keluar dari sebuah kereta.

 

Dia bersama pemandu kereta terbabit yang berusia 26 tahun diberkas polis sejurus selepas itu.

 

Pendakwa raya Valenciennes, Francois Perain berkata, pemandu itu yang menggelar dirinya “kawan baik” pengantin lelaki di majlis perkahwinan yang dihadirinya, bersetuju membawa penembak disyaki itu yang tidak berada dalam senarai jemputan pengantin.

 

“Suspek itu mengambil senapang memburu itu dan melepaskan tembakan ke udara untuk ‘menghangatkan suasana’,” kata pendakwa raya.

 

Beberapa kelongsong peluru ditemui dalam kereta terbabit yang menunjukkan suspek melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah 12 kaliber, beberapa kali ketika mereka melalui tempat kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.